KOTA KINABALU: Seorang wanita terpaksa menahan kesakitan hampir lima jam selepas cincin jenis titanium yang dipakai gagal ditanggalkan sehingga menyebabkan jari tengah kanannya membengkak.
Tidak tahan dengan kesakitan dialami, wanita berusia 24 tahun itu kemudian menghubungi Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kota Kinabalu, untuk meminta pertolongan.
Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, panggilan kecemasan diterima jam 9.54 pagi sebelum menggerakkan Skuad Delta ke Kampung Darau Lama, di sini.
“Setiba di lokasi, pengadu memaklumkan cincin tersekat di bahagian jari tengah dan anggota APM membuat penilaian terhadap jari mangsa.
“Selepas membuat penilaian, anggota menggunakan kain anduh, kayu khas dan dua jenia pemotong untuk melakukan kerja kerja pemotongan cincin,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, cincin jenis titanium berjaya dilepaskan dari jari mangsa pada jam 11.18 pagi.
Katanya, mangsa berada dalam keadaan selamat dan pasukan APM kembali menjalankan tugasan harian lain. – Info X