Search

Satu lagi program bantu rakyat diperkenalkan tahun ini

February 19, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Kerajaan negeri akan melaksanakan satu lagi program baharu untuk membantu meringankan beban rakyat pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata inisiatif baharu itu adalah tambahan kepada beberapa program yang sudah dilaksanakan termasuk Program Sentuhan Kasih Rakyat atau SYUKUR yang dilancarkan hari ini.

“Sebagai kerajaan yang sentiasa prihatin dan peduli rakyat, terutama dengan peningkatan kos sara hidup masa kini, kita kena memikirkan sesuatu untuk membantu rakyat di negeri ini.

“Program ini dijangka akan diumumkan pada tahun ini sekiranya semua perancangan berjalan lancar dan teratur selain mengikut kemampuan kewangan negeri.

“Saya dan rakan-rakan dalam Kabinet negeri sentiasa memikirkan usaha dan inisiatif yang boleh membantu rakyat terutama mereka yang miskin dan miskin tegar.

“Apabila semua perbincangan sudah selesai, kita akan umum kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Pelancaran SYUKUR 2025 di Pusat Kebudayaan Rumpun Bajausama Sabah, di sini, pada Rabu.

Hajiji melancarkan program SYUKUR di Tuaran.

Hajiji berkata Program SYUKUR bertujuan meringankan beban kewangan rakyat dan memastikan kesejahteraan kehidupan mereka terjaga.

“Program ini menyediakan bantuan tunai sebanyak RM300 setiap bulan kepada penerima yang layak sehingga 31 Disember 2025 dengan jumlah peruntukan sebanyak RM358.5 juta dan akan memberi manfaat kepada 100,000 orang penerima.

“Bermula pada bulan Februari 2025, seramai 72,058 Ketua Isi Rumah (KIR) miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam sistem eKasih setakat 31 Disember 2024 telah menerima manfaat ini.

“Daripada jumlah itu, seramai 52,201 penerima telah menerima bayaran terus ke akaun bank bermula 17 Februari.

“Seramai 19,857 lagi penerima yang tidak mempunyai akaun dibayar secara berperingkat sama ada menerusi bantuan secara tunai atau pembukaan akaun khas bagi memudahkan pembayaran fasa pertama dibuat sehingga Mac ini,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga akan melaksanakan Fasa Kedua program itu pada Mei 2025 yang akan memperluaskan lagi manfaat kepada lebih ramai penerima, termasuk mereka yang berada dalam senarai eKasih serta golongan miskin dan miskin tegar yang tercicir daripada senarai sebelum ini.

Sehubungan itu, Hajiji berharap dengan pelaksanaan program itu, kehidupan mereka yang terjejas dapat dipertingkat serta mewujudkan sebuah masyarakat yang lebih sejahtera dan inklusif.

“Saya mahu usaha berterusan dilaksanakan di lapangan dalam memastikan mereka yang tercicir dan layak mendapatkan bantuan ini tapi tidak berdaftar dalam Pangkalan Data Negeri Sabah atau PADANS boleh mengemukakan aduan kepada Ketua Kampung atau Pegawai MySMJ Profiler yang telah ditempatkan di semua pejabat daerah di negeri ini.

“Saya berharap agar SYUKUR akan menjadi sebuah inisiatif berterusan yang membawa impak positif kepada masyarakat selari dengan aspirasi Sabah Maju Jaya dalam meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sementara itu, amaun pembayaran SYUKUR akan dibayar secara berfasa dengan setiap fasa dibayar secara ‘lump-sum’ bagi tempoh tiga bulan iaitu sebanyak RM900 akan dikreditkan ke akaun mereka yang mempunyai akaun dan kepada penerima bantuan secara tunai.

Bagi pembayaran fasa pertama (Januari sehingga Mac 2025) diagihkan bermula Februari, manakala fasa kedua (April sehingga Jun 2025) diagihkan bermula April; fasa ketiga (Julai sehingga September 2025) diagihkan bermula September 2025 dan fasa keempat (Oktober sehingga Disember 2025) diagihkan pada Oktober 2025.

Bagi tujuan semakan penerima dan pembayaran boleh dilakukan melalui Laman web Sistem PADANS di https://padans.sabah.gov.my/; Laman web http://sukur.sabah.gov.my/; YONO Superapp dan Notifikasi pembayaran (SMS).

Semakan penerima SYUKUR boleh diakses mulai hari ini, 19 Februari 2025. – Info X

Pix – Hajiji melancarkan program SYUKUR di Tuaran.

Pix – Seorang penerima bantuan SYUKUR menunjukkan kepada Hajiji bayaran yang diterimanya melalui telefon bimbit.