Search

RM2.5 juta kompaun dikeluar APMM Tawau tahun lalu

February 19, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Tawau merekodkan sebanyak RM2.5 juta kompaun membabitkan 108 tangkapan sepanjang tahun lalu.

Pengarah Zon Maritim Tawau, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, jumlah itu adalah hasil pemeriksaan sebanyak 9,187 yang dijalankan sepanjang operasi di perairan daerah ini.

Katanya, kejayaan tangkapan itu juga yang tertinggi direkodkan di seluruh negara mengikut zon pada tahun lalu dan ia adalah hasil keberkesanan operasi dijalankan oleh pasukan Zon Maritim Tawau.

“Kita adalah antara penyumbang terbanyak kepada tangkapan dalam Maritim Negeri Sabah sepanjang 2024 menerusi operasi-operasi dilaksanakan di perairan daerah ini.

“APMM Sabah mendapat penganugerahan dan diberikan Piala Laksamana di atas pencapaian yang lakar tahun lalu,” katanya.

Beliau berkata demikian sempena Hari Ulang Tahun Dua Dekad APMM ‘Perisai Samudera Negara’ 2025, di sini, hari ini.

Sementara itu, katanya, sepanjang sebulan tahun ini pula, Zon Maritim Tawau membuat lapan tangkapan menerusi 543 pemeriksaan.

“Kebanyakkan kes tangkapan dan rampasan yang dilakukan sepanjang tahun ini adalah melibatkan kesalahan Akta Kawalan Bekalan (AKB).

“Kes penyeludupan rokok dan dadah juga dalam pemerhatian kita, malah kita sedang berusaha untuk mendapatkan maklumat mengenai kes berkenaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Zon Maritim Tawau kekal dengan dua buah bot dan satu kapal dalam menjalankan operasi setiap hari di perairan Tawau.

“Namun, menjelang bulan Ramadan dan Hari Raya akan datang, kemungkinan kita akan tambah aset yang sentiasa bersedia untuk diarahkan beroperasi pada bila-bila masa,” katanya.

Mengulas mengenai sambutan ini, Shahrizan berkata, ia sedikit berbeza kerana bermula bersama rakan strategik seperti Media, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan pusat perbankan di daerah ini.

“Pada 22 Febuari depan pula turut diadakan aktiviti ‘boat ride’ yang mana kita membuka peluang kepada masyarakat di daerah ini menaiki bot APMM.

“Kita akan bawa pelawat mengelilingi sepanjang perairan Tawau dan melawat kapal APMM yang sedang bersauh,” katanya. – Info X