KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menegur Jabatan Kerja Raya (JKR) berikutan masalah kerosakan jalan raya yang sering menjadi aduan rakyat di negeri ini.
Beliau meminta jabatan itu supaya bertindak secara proaktif menyelesaikan masalah berkenaan tanpa menunggu aduan atau arahan untuk melaksanakan kerja.
Katanya, kelewatan menyelesaikan kerosakan jalan raya menimbulkan isu besar yang sering ditularkan di media sosial hingga menyebabkan kerajaan negeri dipersalahkan.
“Jangan tunggu sampai ada aduan atau arahan, baru mahu bergerak! Ini adalah zaman di mana segala-galanya berada di hujung jari.
“Silap sedikit, pasti ada yang tukang viral sambil menyalahkan Kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Ketua Menteri.
“Yang dilihat dan yang ditegur bukannya kementerian atau jabatan yang berkenaan tetapi kerajaan dan Ketua Menteri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam di Sabah, di sini, hari ini.
Hajiji menegaskan JKR bertanggungjawab membuat pemantauan dan pemeriksaan rapi terhadap semua jalan raya, sama ada di bandar, pekan, atau luar bandar.
“Jangan menunggu sehingga berlaku kemalangan baru kelam-kabut bertindak. Saya sedih apabila seorang pengguna jalan raya (penunggang motosikal) maut gara-gara jalan raya yang dibiarkan berlubang di kawasan bandar raya Kota Kinabalu baru-baru ini.
“Walaupun perkara ajal dan maut itu adalah takdir yang telah ditentukan tetapi jalan yang rosak ini, tidak kira di mana sekalipun, di bandar besar atau pekan, JKR seharusnya bertanggungjawab membuat pemantauan atau pemeriksaan yang kerap dan rapi serta berjadual,” katanya.
Baru-baru ini, seorang penunggang motosikal maut selepas terlanggar lubang sebelum terbabas di Jalan Lintas, di sini.
Katanya, tindakan sama juga perlu diambil terhadap isu air, elektrik, setinggan dan pelbagai lagi isu berkaitan kepentingan rakyat yang sepatutnya dapat diatasi jika jabatan yang terbabit cekap, pantas dan tangkas bertindak menunaikan kewajipan. – Info X