KOTA KINABALU: Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) perlu bertindak pantas menjelaskan kepada rakyat mengenai masalah sebenar bekalan air yang berlaku dan dihadapi di Sabah sekarang.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata masalah itu diwarisi daripada kerajaan terdahulu yang tidak memahami isu bekalan dan pembahagian air.
Katanya, tindakan kerajaan sebelum ini melakukan rombakan dan perubahan drastik dalam JANS hingga pegawai berpengalaman dipindah, selain kontraktor sedia ada diganti menimbulkan masalah kepada sistem bekalan air ketika ini.
“Akibatnya, sekarang bekalan air terputus-putus di sana sini, malah ada air rasa masin. Semuanya berpunca daripada masalah pengurusan bekalan air yang tidak cekap dan lebih memburukkan lagi keadaan, berlaku kecurian bekalan air yang berleluasa hingga mencecah 60 peratus air bersih kita hilang dicuri orang.
“Jumlah 60 peratus air tidak berhasil (NRW) itu bukan sedikit. Lebih separuh air bersih kita hilang dan ini tanggungjawab JANS untuk mengenal pasti di mana dan bagaimana punca kehilangan air itu berlaku.
“Namun, sekarang saya difahamkan 60 peratus NRW itu berjaya diturunkan setelah operasi pemotongan sambungan paip haram dilaksanakan di beberapa kawasan setinggan.
“Persoalan saya, apa jaminan penduduk setinggan haram tidak menyambung semula saluran air berkenaan,” katanya pada Majlis Amanat Tahun Baharu 2025 Ketua Menteri Bersama Penjawat Awam Negeri, di SICC, hari ini.
Hajiji memberi contoh, projek dan kerja membaiki Loji Rawatan Air Telibong 2 di Tuaran sudahpun siap tetapi bekalan air belum mencukupi kerana proses pemasangan paip baharu yang menyalurkan air ke Sepanggar dan sekitar Kota Kinabalu masih dalam pembinaan dan hanya siap sebelum akhir tahun ini.
Jelasnya, bekalan air kepada penduduk di Putatan pula, pihak konsesi air, Jetama sedang membina Urgent Water Supply Scheme, iaitu loji baharu berkapasiti lima juta liter sehari (MLD).
“Projek ini dijangka siap pada Mei nanti yang akan menghasilkan tambahan lima MLD khusus untuk kawasan sekitar Putatan.
“Projek Loji Rawatan Air Kogopon 2 di Papar yang masih dalam pembinaan pula dijangka siap sepenuhnya pada tahun depan yang akan meningkatkan kapasiti air terawat untuk kawasan Papar dan Putatan,” katanya.
Hajiji berkata, bagi memastikan bekalan air yang konsisten untuk jangka masa panjang, kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan pusat membina Empangan Hidroelektrik Ulu Padas di Tenom, yang dijangka siap pada 2029.
“Projek mega ini akan menjadi sumber bekalan air mentah, terutama ke beberapa daerah utama di Sabah. Dengan projek ini juga aliran bekalan elektrik akan diperluaskan dengan menghubungkan rantau selatan dan tenggara Sabah, sekali gus mencipta rangkaian tenaga yang lebih stabil,” katanya. – Info X