KOTA KINABALU: Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) yang beroperasi di Gunung Kinabalu kini mempunyai pusat operasi tetap di Gunting Lagadan.
Ia berikutan penyediaan fasiliti oleh Taman-Taman Sabah (TTS) di lokasi berkenaan menerusi satu memorandum perjanjian (MOA) yang akan ditandatangani Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dengan TTS, esok.
Pengarah JBPM Sabah, Jainal @ Zainal Madasin, berkata menerusi MOA itu anggota MOSAR boleh menggunakan fasiliti di Gunting Lagadan sebagai tempat tinggal dan pusat operasi.

“Pasukan MOSAR ini telah bertugas hampir 10 tahun di kawasan itu, namun sebelum ini mereka tidak mempunyai stesen tetap.
“Dengan adanya stesen ini, ia menjadi satu-satunya balai bomba di kawasan altitud tinggi di Malaysia, sekali gus melakar sejarah sebagai pusat operasi menyelamat di gunung yang pertama di dunia dikendalikan sepenuhnya oleh kerajaan.
“MOA ini membolehkan mereka mempunyai kemudahan tempat tinggal dan boleh sentiasa bersedia untuk sebarang keperluan kecemasan,” katanya.
Beliau ditemui media selepas mengetuai kunjungan hormat JPBM Sabah terhadap Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman, di Istana Seri Kinabalu, pada Khamis.
Jainal, selain MOA itu, JBPM Sabah juga akan mengadakan program penting pada 22 Februari ini, iaitu latihan Pemantapan Pasukan Respons Kecemasan (ERP) yang membabitkan kira-kira 1,000 peserta daripada pelbagai agensi kerajaan dan swasta.

“Program ini akan diadakan di Kompleks Sukan Likas bagi memastikan kesiapsiagaan semua pihak dalam menghadapi sebarang situasi kecemasan,” katanya.
Turut serta pada kunjungan hormat itu ialah Penolong Pengarah Bahagian Operasi JPBM Sabah, Muhammad Taqiuddin Victor Doon; Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JPBM Sabah, Ibnu Sahad Punggak dan Pegawai Perhubungan Awam JPBM Sabah, Mohd Affendy K Ramin.
Jainal yang berasal dari Putatan baru saja dilantik sebagai Pengarah JBPM Sabah yang baharu berkuat kuasa pada 2 Disember lalu selepas menamatkan khidmat sebagai Pengarah JBPM Kelantan. – Jabatan Penerangan Sabah