Search

Mangsa keempat kebakaran di Labuan dilapor meninggal dunia

February 20, 2025

Info X Reporters

LABUAN: Seorang lagi kanak-kanak mangsa kebakaran rumah di Lazenda Villa 2, di sini, tengah malam tadi meninggal dunia, menjadikan jumlah mangsa yang maut akibat tragedi itu seramai empat orang.

Mangsa keempat itu, Shayven Keinth Chong Shahmioon, 12, dilaporkan meninggal dunia pada kira-kira jam 10 pagi tadi ketika dirawat di Hospital Labuan.

Perkara itu disahkan Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim ketika dihubungi hari ini.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Mohd Hamizi Halim.

“Seorang mangsa kanak-kanak yang cedera dan menerima rawatan di hospital disahkan meninggal dunia jam 10 pagi tadi.

“Seorang lagi kanak-kanak lelaki berusia 13 tahun dibenarkan keluar hospital dan telah diserahkan kepada pihak keluarga,” katanya.

Terdahulu, warga emas Morris Chong Hoon Cheung, 65, dan dua cucunya Shayviann Kyrona Ruby Chong Shahmioon, 8, Shahwin Kind Chong Shahmioon, 11, maut, manakala dua lagi kanak-kanak lelaki iaitu Shayven Keinth Chong Shahmioon, 12, dan Shayden Ken Ruby Chong Abdullah, 13 cedera dalam kebakaran rumah di Lazenda Villa 2, tengah malam tadi.

Empat lagi mangsa iaitu dua lelaki berusia 35 dan setahun serta dua wanita berusia 32 san 61 tahun selamat.

Sementara itu, Hamizi berkata punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba.

“Polis menasihatkan orang ramai yang menyaksikan kejadian itu supaya tidak menularkan gambar atau video membabitkan mangsa bagi menjaga sensitiviti ahli keluarga mangsa,” katanya. – Info X