KOTA KINABALU: Kecekapan operasi Pasukan Mencari dan Menyelamat Gunung (MOSAR) yang diwujudkan di Gunung Kinabalu bakal ditingkatkan dengan adanya pusat operasi tetap di gunung tertinggi Asia Tenggara itu.
Ia berikutan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) Pajakan Kecil Pusat Operasi dan Penyelamatan JBPM Sabah yang ditandatangani dengan Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah (TTS), di sini, hari ini.
Ketua Pengarah JBPM Datuk Nor Hisham Mohammad berkata, usaha ini memberikan inisiatif yang baik apabila perkhidmatan MOSAR disediakan di Gunung Kinabalu.
Katanya, dalam masa sama mampu meningkatkan tahap ekonomi negeri kususnya berkaitan dengan pelancongan melalui aktiviti lasak pendakian gunung.

“Selepas tragedi gempa bumi 2015, kita menubuhkan pasukan ini dan menumpang fasiliti bersama yang disediakan oleh TTS, namun begitu bermula empat tahun lalu kita memulakan gerak kerja untuk mendapatkan saiz yang lebih kekal.
“Alhamdulillah, Gunting Lagadan Hut yang terselamat daripada tragedi itu diberikan kebenaran kepada kita untuk melaksanakan pajakan ini yang dilihat penting kerana membolehkan kita menggunakan peruntukan jabatan untuk melaksanakan kerja-kerja ubah suai, naik taraf dan juga menggunakan kemudahan itu secara khusus untuk pasukan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penganugerahan Pingat Perkhidmatan Bomba, Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2024, Sijil Perkhidmatan Terpuji Pegawai Bomba Bantuan dan Sijil Perkhidmatan 30 Tahun JBPM Sabah, di sini, hari ini.
Menurutnya, pemerolehan ini adalah satu lagi pencapaian pasukan MOSAR ini dan perkara ini sesuatu yang bukan mudah untuk diputuskan oleh TTS sesuai dengan kedudukan Gunung Kinabalu sebagai tapak warisan dunia.

“Sebelum melaksanakan sebarang kerja, pertama sekali kita pastikan dirujuk silang bersama dengan pihak TTS supaya status lokasi ini tapak ini sebagai tapak warisan dunia ini tidak terjejas.
“Untuk itu kita memberi peringatan kepada JBPM Sabah supaya apa-apa kerja yang berkaitan dengan pembangunan pusat ini dilaksanakan dengan mengambil kira sensitiviti status tapak itu sendiri,” katanya.
Beliau juga berterima kasih dengan kerajaan negeri khususnya dengan komitmen dan juga bantuan dalam membolehkan dua perkara besar ini dapat dilaksanakan termasuk pembangunan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) Sepanggar.
Menyentuh mengenai BBP KKIP itu, beliau berkata, ia diwujudkan berdasarkan keperluan balai bomba di kawasan perindustrian selain Manggatal seiring keperluan pembangunan di kawasan terbabit.
“Mengikut kepada prosedur kerajaan untuk pembangunan BBP baru, sewajarnya kita harus mempunyai tapak yang diselesaikan berkaitan urusan pertukaran hak milik dan untuk pemerolehan ini, agensi pusat meluluskan peruntukkan dan menukar kaedah perolehan BBP daripada pembinaan kepada pembelian bangunan.
“Syukurlah KKIP juga menawarkan kos perolehan bangunan hanya merangkumi kos pembinaan tanpa untung RM6 juta, dalam masa setahun dari sekarang, jika tiada apa-apa aral, insyaAllah balai KKIP ini akan mula beroperasi.
“Ini juga satu lagi pencapaian kerana biasanya pembinaan untuk balai bomba baharu akan mengambil masa antara tiga atau empat tahun daripada proses reka bentuk proses tawaran tender proses pembinaan dan proses pengisian perjawatan, tetapi melalui kaedah yang dilaksanakan ini dalam masa setahun daripada sekarang kita percaya bahawa pengisian dan juga pengoperasi BBP KKIP dapat dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Taman-Taman Sabah, Dr Maklarin Lakim berkata, MoU ini adalah bagi meningkatkan lagi kerjasama TTS dan JBPM dalam usaha penyelamatan yang sudah dilaksanakan sejak 2015 melalui kewujudan MOSAR iaitu kumpulan penyelamat pergunungan diterajui oleh malim gunung yang diberikan latihan oleh JBPM.
“Kerjasama ini akan menempatkan pasukan MOSAR di atas stesen Panalaban di Gunung Kinabalu menerusi bangunan Gunting Lagadan yang ditransformasikan menjadi sebuah bangunan balai bomba untuk tujuan penyelamatan serta menempatkan kemudahan asas kepada MOSAR.
“Kita akan menjalankan tempoh percubaan selama tiga tahun sehingga 2028 dengan harapan usaha ini akan meningkatkan kelancaran penyelamatan dan sudah tentu memberikan satu keyakinan kepada para pendaki Gunung Kinabalu.
“Pada masa sama ia juga sebagai satu persediaan untuk kita mempersiapkan diri menantikan ketibaan Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026 yang dilakukan dengan kerjasama pihak Kementerian Pelancongan serta Lembaga Pelancongan Sabah (STB) sendiri.
“Dengan adanya keyakinan dalam kalangan pendaki, kita harapkan untuk mengekalkan momentum ketibaan pelancong terutama ke Gunung Kinabalu seterusnya mencapai jumlah sasaran sebanyak 3.5 juta iaitu melebihi jumlah kemasukan tahun lalu,” katanya. – Info X