Search

Pemandu maut tersepit dalam kemalangan lori, kereta

February 21, 2025

Info X Reporters

TUARAN: Seorang pemandu maut manakala penumpang parah selepas kenderaan pacuan empat roda dinaiki mereka terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Tuaran – Kota Belud, Kampung Bunga Tenghilan, di sini, petang tadi.

Mangsa lelaki berusia 30 tahun memandu kenderaan pacuan empat roda jenis Ford Ranger yang tersepit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Mohd Nor Amit berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan membabitkan lori 10 tan dengan Ford Ranger, jam 5.55 petang.

Pasukan bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kenderaan selepas terbabit kemalangan di Tuaran. – Foto/Bomba

“Setiba di lokasi, pemandu lori tidak mengalami kecederaan manakala pemandu Ford Ranger yang tersepit berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba.

“Penumpang Ford Ranger lelaki cedera parah dibawa ke Hospital Tuaran oleh ambulans KKM untuk menerima rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, pemandu Ford Ranger disahkan meninggal dunia oleh pihak KKM dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Lori yang terbabit kemalangan dengan kenderaan Ford Ranger di Tuaran. – Foto/Bomba

“Selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 6.31 petang,” katanya. – Info X