Search

Mayat lelaki ditemui terdampar di Pantai Gorongon

February 22, 2025

Info X Reporters

PENAMPANG: Mayat lelaki ditemukan terdampar berhampiran Pantai Gorongon, Kampung Contoh, Petagas, Putatan di sini, pagi tadi.

Mayat lelaki berusia lingkungan 30-an lengkap berpakaian ditemukan orang awam sebelum menghubungi pihak polis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.20 pagi.

Katanya, hasil siasatan awal polis mendapati tiada sebarang unsur kejadian jenayah yang boleh dikaitkan dengan kematian mangsa.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu untuk bedah siasat.

“Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Anggota polis mengangkat mayat mangsa yang ditemui terdampar di Pantai Gorongon, Kampung Contoh, Petagas, Putatan.

Sehubungan itu, Sammy berkata pihak polis sedang giat mengesan waris mangsa terbabit.

“Orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta tampil memberikan maklumat di balai polis berdekatan.

“Orang awam juga boleh menghubungi pegawai penyiasat, Inspektor Afizul Ag Amin di talian 016-8352006,” katanya. – Info X