Search

PRN17: BN masih berteka-teki soal kerjasama dengan parti lain

February 24, 2025

Info X Reporters

PRN17: BN masih berteka-teki soal kerjasama dengan parti lain

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) masih berteka-teki mengenai siapa rakan kerjasama politiknya pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Ketika diajukan perkara itu, pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, enggan mendedahkan sama ada wujud rundingan di antara BN dengan mana-mana parti.

Ditanya sama ada wujud rundingan rasmi dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau tidak sepatutnya mendedahkan maklumat mengenainya.

“Saya tidak sepatutnya berkongsi maklumat ini,” katanya pada sidang medianya selepas lawatan ke Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Persekitaran Lido Kota Kinabalu, di sini, pada Isnin.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO juga tidak mahu mendedahkan jika ada sebarang rundingan dengan mana-mana parti lain setakat ini, termasuk dengan Pakatan Harapan (PH).

“Seperti yang saya katakan, kami sangat terbuka dan kita tidak sepatutnya berhenti berunding dan berbincang dengan sebarang pemimpin politik untuk kebaikan Sabah,” katanya.

Ahmad Zahid sebelum itu berkata beliau sangat terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan pada pilihan raya itu nanti.

“Saya sebutkan bahawa pintu jangan ditutup rapat dan jangan dibuka terlalu luas.

“Ertinya kita sangat fleksibel untuk mengadakan perundingan dengan mana-mana parti supaya gabungan ini akan memberikan keberhasilan demi kestabilan politik khususnya di Sabah.

“Saya nampak cahaya yang cukup terang di hujung terowong dan saya akan meneruskan tugas-tugas ini. Apa yang penting, kestabilan politik di Putrajaya itu dapat juga dirasai oleh penduduk dan orang-orang politik di Sabah,” katanya.

Beliau berkata apa yang penting, rakyat mesti diberikan keutamaan supaya masalah politik dapat diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Katanya, pemimpin utama parti juga harus lebih terbuka fikiran dan berlapang dada demi kepentingan rakyat.

“Jangan fikirkan hanya kepentingan sesuatu parti sahaja,” katanya.

UMNO Sabah sebelum ini pernah menyatakan kesediaan bekerjasama dengan Warisan, namun masing-masing menafikan wujud persefahaman di antara kedua pihak mengenai agihan kerusi pada PRN nanti.

BN sebelum ini juga menyatakan komitmen untuk bekerjasama dengan PH, namun tiada perkembangan baharu mengenainya, selain pendirian PH Sabah yang dilihat lebih memihak kepada GRS sedangkan BN menolak gabungan pimpinan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor itu. – Info X