KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dibidas berikutan kenyataannya mempertikaikan seruan Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor agar rakyat memberi peluang kepada kerajaan pimpinannya pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ia berkaitan rancangan kerajaan negeri untuk meneruskan pelan pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) ke fasa 2.0 mulai tahun depan selepas tamat fasa 1.0 dari 2021 hingga tahun ini.
Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan, berkata kenyataan Ahli Parlimen Kinabatangan itu adalah tidak berasas dan hanya bertujuan mengelirukan rakyat.
Beliau berkata, fakta jelas menunjukkan Sabah mencatat pelbagai pencapaian yang membanggakan di bawah kepemimpinan Hajiji dan pelan pembangunan SMJ.
“Antara pencapaian yang jelas ialah Sabah menerima pelaburan berjumlah RM11.34 bilion pada tahun lalu, termasuk projek besar yang bakal membuka lebih banyak peluang pekerjaan untuk rakyat tempatan.
“Selain itu, hasil negeri juga meningkat secara signifikan, mencecah RM6.9 bilion pada 2023, membuktikan kebolehan kerajaan negeri dalam mengurus ekonomi dengan baik.
“Sektor tenaga dan infrastruktur turut mendapat perhatian serius dengan pelaksanaan projek solar hibrid berkapasiti 199 MW dan pembinaan stesen janakuasa hidroelektrik di Ulu Padas.
“Pembinaan projek BESS (Battery Energy Storage System) berkapasiti 100 MW di Lahad Datu turut dilancarkan bagi memastikan semua tempat di Sabah menerima bekalan elektrik yang lebih stabil.
“Usaha berterusan ini adalah bukti bahawa kerajaan negeri tidak hanya sekadar menabur janji, tetapi benar-benar membawa perubahan yang ketara kepada Sabah,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam kenyataan sebelum ini, Bung Moktar meminta kerajaan negeri menjelaskan apa yang terjadi kepada pelan pembangunan SMJ hingga meminta peluang kedua untuk melaksanakan SMJ 2.0.
Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, jika pelan SMJ yang dicanangkan sebelum ini berjalan lancar dan memberikan hasil yang memuaskan, mengapa Hajiji perlu merayu kepada rakyat untuk memberikan peluang kedua kepada kerajaan pimpinannya.
Sementara itu, mengulas lanjut, Nizam menegaskan Ketua Menteri tidak merayu simpati seperti yang didakwa, sebaliknya beliau bersikap telus dan realistik dalam memastikan kesinambungan pembangunan Sabah.
Jelasnya, pembangunan dan kemajuan negeri bukan sesuatu yang boleh dicapai dalam satu penggal, sebaliknya memerlukan kesinambungan dan kestabilan politik untuk mencapai kejayaan yang lebih besar.
“Inilah yang beliau tekankan, bahawa mandat rakyat adalah kunci untuk memastikan segala perancangan yang telah bermula dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan.
“Hakikatnya, di bawah kepimpinan Hajiji Noor, Sabah telah menunjukkan kemajuan yang ketara dan usaha ini perlu diteruskan tanpa gangguan politik yang hanya akan merugikan rakyat,” katanya.
Beliau berkata, apa yang diperlukan Sabah sekarang bukan polemik tidak berasas tetapi kestabilan dan kesinambungan kepemimpinan yang sudah terbukti berjaya. – Info X