Search

Ko-Nelayan rancang projek pembangunan bercampur di Kuala Inanam

February 24, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Korporasi Kemajuan Perikanan dan Nelayan Sabah (Ko-Nelayan) merancang untuk melaksanakan projek pembangunan bercampur di tanah seluas 47.81 ekar di Kuala Inanam, dekat sini.

Mengumumkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jefffey Kitingan, berkata cadangan projek berkenaan merangkumi pembinaan sebuah kolej vokasional khusus untuk bidang maritim dan perikanan.

Katanya, turut dicadangkan dalam projek itu ialah pembinaan ‘fishermen command centre’, pusat penyelidikan marin dan aquaseum serta lot komersial dan perumahan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Dr Jefffey Kitingan.

Cadangan itu, katanya adalah antara projek ‘flagship’ yang dirancang dibangunkan Ko-Nelayan di beberapa kawasan tanah yang dikenal pasti melalui pendekatan usahasama awam-swasta.

“Ko-Nelayan juga akan membangunkan aset sedia ada seperti tanah melalui pendekatan usahasama awam-swasta,” katanya ketika merasmikan Majlis Apresiasi Ko-Nelayan, di sini, malam tadi.

Hadir sama Pengerusi Ko-Nelayan, Kong Soon Choi; Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, Datuk Leonard Stephen Poyong dan Pengurus Besar Ko-Nelayan, Yusof Awang Besar.

Selain di Kuala Inanam, Jeffrey berkata projek flagship Ko-Nelayan itu turut membabitkan beberapa cadangan projek di kawasan lain, antaranya pembangunan pusat komersial perikanan di tanah seluas 12.5 ekar di Kampung Simunul, Semporna.

Turut dicadangkan, katanya ialah pembangunan ‘bank ikan’ di tanah seluas 164 ekar di Weston, Beaufort dan pembangunan Taman Perindustrian Rumpai Laut di kawasan seluas 118 ekar di Kampung Salimbangun, Semporna.

Jeffrey yang juga Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan negeri, berkata cadangan projek itu antara yang dirancang selain 32 strategi dan 91 program di bawah Pelan Strategik Ko-Nelayan 2023-2030 bagi membangunkan kumpulan sasar dan industri akuakultur serta perikanan.

Sementara itu, katanya kementeriannya sentiasa berusaha untuk meningkatkan pengeluaran makanan demi keterjaminan makanan dan memacu pertumbuhan ekonomi dalam sektor pertanian, penternakan dan perikanan.

Mengulas pencapaian Ko-Nelayan, Jeffrey berkata agensi itu berjaya memperbaiki kedudukan kewangannya dan memberi sumbangan kepada kerajaan negeri selama dua tahun berturut-turut dengan sebanyak RM600,000 disumbangkan pada 2024.

“Saya yakin Ko-Nelayan mampu mengorak langkah yang lebih positif dan terus berusaha untuk mencapai matlamat utama yang telah dirancang.

“Perlu diingatkan bahawa bagi mencapai matlamat organisasi bukanlah satu perkara yang mudah, lebih-lebih lagi untuk mengekalkan kecemerlangan yang dicapai.

“Akan tetapi ianya juga bukan sesuatu yang mustahil untuk diperolehi sekiranya warga Ko-Nelayan terus bekerjasama dan memberikan komitmen yang tinggi terhadap tanggungjawab yang diamanahkan,” katanya.

Beliau berkata, kemampuan Ko-Nelayan mencapai salah satu objektifnya iaitu membantu memperbaiki kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat nelayan di Sabah dapat dibuktikan menerusi pelaksanaan program dan projek pembangunan negeri.

“Dengan potensi dan sumber semulajadi yang dimiliki, kita berkeyakinan sektor perikanan akan dapat diperkasakan untuk menyumbang melalui pengeksportan hasil tempatan, meningkatkan pendapatan masyarakat nelayan serta mengurangkan kebergantungan negeri kepada import produk perikanan,” katanya. – Info X