KOTA KINABALU: Sabah dijangka menerima nilai pelaburan keseluruhan mencecah RM58.3 bilion dalam tempoh hampir lima tahun sejak September 2020.
Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan negeri, Datuk Thomas Logijin, berkata jumlah itu merangkumi pelbagai jenis pelaburan yang dilaksana atau diluluskan cadangannya di seluruh negeri.
Katanya, daripada jumlah itu, sebanyak RM17.41 bilion pelaburan asing dan domestik membabitkan 73 syarikat diluluskan dalam sektor perkilangan sejak September 2020.

“Daripada 73 syarikat itu, sebanyak 52 syarikat sudah membuka perniagaan di negeri ini dengan pelaburan keseluruhan RM7.8 bilion dan mewujudkan 3,636 peluang pekerjaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam taklimatnya sempena lawatan kerja Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor ke Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, di sini, pada Isnin.
Hadir sama Menteri Kewangan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Jahid Jahim dan Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan, Datuk Phoong Jin Zhe.
Kementerian berkenaan adalah yang terakhir dilawati Ketua Menteri menerusi siri lawatan kerja ke semua kementerian negeri sejak tahun lalu.
Lawatan kerja itu bagi mendengar perkembangan dan pelaksanaan program yang sedang dibuat selain pelan baharu yang akan datang.

Thomas berkata, Sabah juga menerima cadangan pelaburan baharu bernilai RM42.3 bilion yang menawarkan sebanyak 32,996 peluang pekerjaan antara 2022 hingga 2024.
“Ia termasuk dari Esteel Enterprise Sabah Sdn Bhd bernilai RM19.6 billion, yang ketika ini sedang dimuktamadkan,” katanya.
Beliau berkata, Esteel sudah menerima Lesen Perkilangan Persekutuan (FML) pada 24 Januari lalu bagi projek fasa pertamanya berjumlah RM5.77 bilion di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP).
Katanya, pelaburan lain termasuk Curix Sdn Bhd (KKIP), barisan pengeluaran ketiga Kibing Group’s (KKIP), Tex Evolusi Waste Management Sdn Bhd (SOGIP) dan E Concern (Borneo) Sdn Bhd (SOGIP).
Thomas berkata, kementeriannya juga sedang menyelaras cadangan pelaburan terkini Kibing Group di Kimanis, TS Asia Green Infrastructure Sdn Bhd di POIC Lahad Datu dan PMB Technology / Press Metal di Sipitang.
“Keseluruhannya, Sabah mencatat nilai pelaburan sebanyak RM58.319 billion,” katanya. – Info X