Search

PRN17: 13 kerusi PBS-STAR kekal ditandingi, kerusi tambahan akan dirunding

February 25, 2025

Info X Reporters

KIULU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) akan mempertahankan 13 kerusi disandang mereka, selain menambah beberapa lagi kerusi pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) nanti.

Ketua Penerangan PBS, Datuk Joniston Bangkuai, berkata tujuh kerusi dimenangi PBS dan enam oleh STAR pada PRN16 wajib dipertahankan kerana ia mewakili mandat yang diberikan rakyat.

Katanya, kedua-dua parti turut meminta tambahan kerusi menerusi perbincangan agihan kerusi dengan rakan parti komponen dalam Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

“Dengan kerjasama berterusan di antara kedua-dua parti, tujuh kerusi yang dimenangi PBS dan enam oleh STAR pada pilihan raya lalu mesti kekal milik kita.

“Tapi, kita bukan saja mahu mempertahankan kerusi sedia ada. Apa yang kita mahu lihat ialah peningkatan jumlah kerusi yang diperuntukkan kepada PBS dan STAR,” katanya.

Datuk Joniston Bangkuai.

Beliau berkata demikian pada Himpunan Solidariti Pemimpin Bersama Rakyat anjuran STAR Bahagian Kiulu, di sini, pada Ahad.

Program itu dirasmikan Presiden STAR yang juga Timbalan Pengerusi GRS, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Tujuh kerusi disandang PBS ialah Kiulu, Tamparuli, Kundasang, Telupid, Tandek, Matunggong dan Lumadan, manakala kerusi disandang STAR pula ialah Tambunan, Bingkor, Liawan, Sook, Tulid dan Paginatan.

Pada 18 April 2024, PBS dan STAR menandatangani memorandum persefahaman (MoU) ke arah mengukuhkan kerjasama bagi mengelak perpecahan dan persaingan sesama sendiri pada PRN17 nanti.

Joniston yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, berkata kerjasama di antara PBS dan STAR di 13 kerusi disandang mereka ketika ini menjadi asas kukuh yang perlu diperkuatkan lagi.

“Apabila jumlah kerusi kita meningkat, kita akan mendapat kekuatan dan ia adalah peluang kita untuk mengukuhkan lagi sokongan kepada kepemimpinan GRS,” katanya.

Mengenai kerjasama PBS-STAR setakat ini, Joniston yang juga Ketua Penerangan GRS, berkata langkah itu diterima baik penyokong kedua-dua parti, selari dengan objektif memastikan kemenangan untuk GRS yang lebih meyakinkan pada PRN17 nanti. – Info X