KOTA KINABALU: PKR Sabah masih membincangkan senarai kerusi yang akan ditandingi dan calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ketua Biro Politiknya, Datuk Seri Christina Liew, berkata setakat ini perbincangan masih dijalankan sebelum dirunding dengan rakan parti komponen atau rakan gabungan.
“Kita masih berbincang dalam kalangan kita iaitu untuk mengenal pasti kerusi dan calon boleh menang mewakili PKR.
“Kemudian barulah kita bincang dengan rakan parti komponen (PH) atau dengan rakan gabungan,” katanya.
Beliau ditemui selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, di sini, malam tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api-Api itu ditanya mengenai perkembangan agihan kerusi bagi PKR Sabah menjelang PRN17 setakat ini.
Christina yang juga Menteri Pelanconan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, berkata kepemimpinan PKR Sabah turut berbincang dengan PKR Pusat mengenai usaha mengelak pertembungan dengan rakan komponen.
“Kita mahu cari jalan untuk mendapatkan situasi menang-menang kerana kita tidak mahu berlaku pertandingan banyak penjuru pada pilihan raya nanti.
“Bagaimanapun, setakat ini kita belum sampai ke tahap itu kerana PKR Sabah masih bincang sesama kita mengenai kerusi dan calon kita nanti,” katanya.
Christina yang menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api sejak 2013 dijangka akan mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN17. – Info X