Search

3,095 kes usik meter elektrik dikesan tahun lalu

February 27, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Sabah Electricity mengesan sebanyak 3,095 kes pengusikan meter elektrik menerusi pemantauan berterusan syarikat utiliti itu di Sabah dan Labuan, sepanjang tahun lalu.

Ketua Pegawai Operasi (COO) Sabah Electricity, Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof, berkata jumlah itu membabitkan kategori pengguna domestik, komersil dan industri.

Ir Mohd Yusmanizam Mohd Yusof.

“Sebanyak 69 operasi bersepadu dilaksanakan di seluruh Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan bersama agensi penguatkuasa lain seperti Suruhanjaya Tenaga Sabah (ECoS), Suruhanjaya Tenaga (ST) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, Sabah Electricity akan terus mempergiatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap pengguna yang masih terbabit dalam kes pengusikan meter elektrik.

Anggota Sabah Electricity memeriksa jika berlaku usikan meter elektrik.

Beliau berkata, Februari 2025, ECoS sudah membawa sembilan kes ke mahkamah untuk proses pendakwaan.

Sementara itu, katanya pada 24 dan 25 Februari lalu, Sabah Electricity dan ECoS memeriksa lima premis di sekitar Kota Kinabalu dan Tuaran kerana disyaki mengusik meter elektrik.

“Sabah Electricity akan membuat tuntutan semula ke atas kerugian hasil sepertimana yang diperuntukkan di mahkamah.

“Kes pengusikan meter adalah kesalahan serius dan pelaku yang terlibat boleh didakwa di bawah Enakmen Bekalan Elektrik 2024 dan Akta Bekalan Elektrik 1990,” katanya. – Info X