KOTA KINABALU: Seorang ibu mahu bersalin yang terkandas akibat tanah runtuh di Jalan Tambunan-Ranau hingga terpaksa diusung untuk menaiki ambulans, semalam selamat melahirkan bayi lelaki.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Dr Maria Suleiman, berkata wanita itu dibawa ke Hospital Keningau bagi menjalani proses pembedahan kecemasan.
“Sebaik tiba di Haspital Keningau, pesakit segera dimasukkan ke dewan bedah dan menjalani pembedahan kecemasan kerana mengalami tanda-tanda bayi lemas dalam kandungan.
“Ibu dan bayi berada dalam keadaan stabil selepas pembedahan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Semalam, seorang wanita yang mahu bersalin berdepan kesukaran untuk ke hospital selepas Jalan Tambunan-Ranau tertutup akibat tanah runtuh di Kampung Pahu, Tambunan.
Berikutan itu, kakitangan dari Klinik Desa Tontolob, Tambunan dengan dibantu pasukan perubatan dari Hospital Tambunan serta polis, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan penduduk kampung mengambil inisiatif mengusung wanita terbabit keluar dari kawasan tanah runtuh untuk menaiki ambulans.
Dr Maria berkata, pihaknya menghargai bantuan semua pihak yang terbabit dalam misi membantu pesakit terbabit hingga dapat melahirkan bayi dengan selamat.

“JKNS ingin merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat dalam operasi ini, termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), JKR serta pasukan perubatan dari Haspital Tambunan, Hospital Keningau dan Kinik Desa Tontolob.
“Selain itu, penghargaan turut diberikan kepada orang awam dan penduduk setempat yang membantu dalam proses pemindahan.
“Kejayaan misi ini menunjukkan kepentingan kerjasama dan kesiapsiagaan pasukan kecemasan dalam menghadapi situasi luar jangka.
“Ia juga mencerminkan kecekapan pasukan dalam mengadaptasi pelan tindak balas bencana untuk memastikan akses kepada perkhidmatan kesihatan tidak terjejas,” katanya.

JKNS katanya terus komited untuk memastikan kesiapsiagaan dan keupayaan pasukan kesihatan dalam menghadapi sebarang emungkinan pada masa hadapan.
Sementara itu, beliau berkata kejadian tanah runtuh yang berlaku pada jam 7.26 pagi semalam menyebabkan jalan utama terputus hingga menghalang laluan ambulans dan kenderaan kecemasan ke lokasi kejadian.
Katanya, pasukan kesihatan dari Klinik Desa Tontolob Liawan, Tambunan yang terletak berhampiran lokasi kejadian, bertindak melakukan penilaian awal dan penstabilan pesakit.
“Pemeriksaan mendapati pesakit berada dalam fasa aktif proses kelahiran dan memerlukan pemindahan segera ke hospital.
“Susulan itu, pasukan retriever dari Unit Kecemasan dan Trauma, Hospital Tambunan dikerah ke lokasi kejadian dengan sebuah ambulans untuk membantu pemindahan pesakit setelah mendapat panggilan dari ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tambunan.
“Oleh kerana laluan utama terhalang, pasukan penyelamat mencari alternatif lain bagi memastikan pesakit dapat dipindahkan secepat mungkin.
“Dalam usaha ini, anggota IPD Tambunan dengan kerjasama penduduk kampung dan orang awam berjaya membantu memindahkan pesakit merentasi kawasan terjejas menggunakan laluan allernatif yang lebih selamat sebelum dibawa ke Hospital Keningau,” katanya. – Info X