PAPAR: Menjelang Ramadan beberapa hari lagi, lima sekeluarga diuji apabila kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Nyaris-Nyaris, Bongawan, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian jam 11.30 pagi itu, semua mereka berjaya menyelamatkan diri dalam kebakaran yang meranapkan keseluruhan rumah berkenaan.
Pemangku Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kimanis Jaffar Salleh berkata, sepasukan pegawai digegaskan ke lokasi selepas menerima panggilan kecemasan berkenaan kejadian pada jam 11.39 pagi.

“Kebakaran membabitkan sebuah rumah jenis separuh kekal dengan keluasan 30×50 kaki terbakar sepenuhnya.
“Turut terbakar, sebuah kereta Proton Wira dan sebuah Motorsikal Honda NSR yang mana masing-masing turut musnah,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, tiada mangsa yang terbabit dan operasi pemadaman dijalankan menggunakan satu aliran, dua pancutan daripada sumber air jentera serta pili bomba.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 12.20 tengah hari dan tiada mangsa cedera kerana semua penghuni berjaya keluar menyelamatkan diri.
“Jumlah kerugian dan punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X