Search

Pendirian terhadap GRS antara tumpuan sambutan ke-40 PBS

March 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) dijangka mengulangi pendiriannya berhubung komitmen parti itu terhadap Gabungan Rakyat Sabah (PBS) pada sambutan ulang tahun ke-40 PBS, Rabu ini.

Setiausaha Agung PBS, Datuk Julitah Majungki, berkata ia antara perkara yang bakal disentuh pemangku Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam dalam ucapannya pada majlis itu nanti.

“Dalam ucapannya nanti, Dr Joachim yang juga Timbalan Presiden PBS dijangka menggariskan hala tuju masa depan parti dan mengingatkan ahli mengenai peranan mereka mengekalkan PBS sebagai kuasa politik yang digeruni.

“Beliau juga dijangka mengulangi komitmen PBS terhadap GRS yang mana ia menjadi parti komponen kedua terbesar ketika ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Mengenai sambutan di Dewan Hakka, Likas yang bermula pada jam 6 petang itu, Julitah berkata kira-kira 1,000 ahli yang terdiri daripada pemimpin bahagian dan wakil sayap wanita serta pemuda dijangka hadir.

Pada sambutan itu, katanya satu video pendek Semangat 1985 akan ditayangkan, memaparkan misi dan visi berterusan PBS untuk Sabah dan rakyatnya.

“Antara yang menjadi tumpuan pada majlis itu ialah pelancaran logo ulang tahun ke-40 PBS dan penyampaian hadiah kepada perekanya,” katanya.

Katanya, Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili dan pengasas PBS yang juga Penasihat Perdana PBS, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan bersama Dr Joachim selaku pemangku presiden akan merasmikan majlis itu.

Selain sambutan itu, katanya beberapa aktiviti turut diadakan sempena ulang tahun ke-40 PBS, termasuk pertandingan golf, boling dan bola sepak. – Info X