Search

Warga emas ditemui maut dalam gaung selepas 3 hari hilang

March 3, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Misteri kehilangan seorang warga emas sejak tiga hari lalu terjawab apabila ditemukan maut selepas dipercayai terjatuh ke gaung di Kampung Tombongon, Manggatal, tengah hari tadi.

Mayat lelaki berusia 77 tahun ditemui oleh penduduk kampung dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum memaklumkan kepada pihak berkuasa kira-kira jam 1.20 tengah hari.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Agustavia Joe Guasi berkata, sebaik menerima panggilan kecemasan itu, sepasukan anggota bomba digerakkan ke lokasi kejadian.

“Seramai sembilan anggota bersama Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak 26 kilometer dari balai bomba.

“Setibanya di lokasi terdapat seorang mangsa terjatuh di gaung yang dilaporkan hilang sejak tiga hari lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, tindakan pasukan bomba menggunakan sistem tali untuk membawa naik mangsa.

“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang berada di lokasi membuat pemeriksaan ke atas mangsa dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Katanya lagi, operasi kemudian ditamatkan pada jam 4.50 petang. – Info X