Search

Tangani isu air secara serius, desak Bung Moktar

March 5, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menggesa kerajaan negeri supaya lebih serius menangani isu bekalan air di Sabah, terutama menjelang sambutan Aidilfitri akhir bulan ini.

Beliau berkata, gangguan bekalan air sudah lama menjadi masalah besar kepada rakyat Sabah dan semakin kritikal menjelang Aidilfitri, berikutan keperluan terhadap bekalan air yang mendesak.

Katanya, isu itu turut diburukkan lagi dengan kegiatan penyambungan haram dan curi air yang berleluasa di beberapa kawasan dan menjadikan masalah air semakin membimbangkan.

“Ini bukan saja memburukkan lagi masalah kekurangan bekalan air tetapi turut merugikan kerajaan dan rakyat yang bergantung kepada bekalan air yang sah.

“Saya ingin bertanya kepada Jabatan Air Negeri Sabah (JANS), sejauh mana siasatan terhadap kegiatan penyambungan haram ini dilaksanakan? Berapa ramai yang telah didakwa atas kesalahan ini?

“Adakah JANS akan terus berselindung di sebalik alasan bahawa kegiatan penyambungan haram adalah punca kekurangan bekalan air, sedangkan masalah ini telah wujud sejak sekian lama dan belum ada penyelesaian yang nyata?,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Bung Moktar berkata kerajaan negeri perlu bertindak tegas terhadap masalah penyambungan haram ini dengan memperkukuhkan penguatkuasaan dan menyelesaikan isu akar umbi yang menyebabkan penyambungan haram berlaku.

Pada masa yang sama, katanya pihak berkuasa juga perlu mencari penyelesaian berkesan untuk meningkatkan kapasiti dan keberkesanan sistem pembekalan air di seluruh negeri.

“Saya ingin menegaskan bahawa rakyat tidak seharusnya terus dibebani dengan masalah bekalan air yang tidak mencukupi, terutama sekali pada musim perayaan.

“Kerajaan negeri harus segera menyelesaikan isu ini secara menyeluruh dan memastikan tidak ada lagi alasan yang membenarkan kekurangan bekalan air untuk terus berlaku,” katanya.

Ahli Parlimen Kinabatangan yang juga bekas Timbalan Ketua Menteri itu, menegaskan UMNO Sabah akan terus mendesak agar kerajaan negeri mengambil langkah segera untuk menangani masalah itu demi kesejahteraan rakyat Sabah. – Info X