KOTA KINABALU: Parti Bersatu Sabah (PBS) menyasarkan lebih enam kerusi tambahan untuk ditandingi di bawah Gabungan Rakyat Sabah (GRS) pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Ia bermakna parti itu bakal bertanding sekurang-kurangnya 13 kerusi, termasuk tujuh kerusi disandangnya yang sudah pasti akan dipertahankan.
Pemangku Presiden PBS, Datuk Dr Joachim Gunsalam, berkata kerusi tambahan itu akan dibincangkan bersama parti komponen GRS yang lain bagi memastikan agihan kerusi yang saksama.
“Kita ada berbincang mengenai kerusi yang kita (PBS) mahu bertanding, ada banyak senarai kerusi yang kita minta, lebih daripada enam.
“Tapi kita kena bincang, tunggu semua Setiausaha Agung parti bincang supaya kita pastikan semua parti mendapat agihan kerusi yang saksama,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sambutan Ulang Tahun Ke-40 PBS di Dewan Hakka, Tanjung Lipat, di sini, malam tadi.
Majlis itu dihadiri kira-kira 1,000 ahli dan pemimpin parti itu termasuk pengasasnya, Tan Sri Joseph Pairin Kitingan dan Presiden PBS, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili.
PBS menyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan, Kiulu, Tamparuli, Kundasang, Telupid, Matunggong dan Tandek yang dimenanginya ketika PRN16 Sabah pada September 2020.
Sementara itu, Dr Joachim yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, berkata senarai kerusi tambahan yang diminta parti itu turut termasuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Melalap.
Kerusi itu kini disandang Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), Datuk Peter Anthony.
“Kita akan bincang dengan rakan komponen GRS dan kalau boleh memang kita mahu kerusi DUN Melalap ditandingi semula PBS,” katanya.
DUN Melalap adalah kerusi tradisi PBS yang pernah dipertahankan wakilnya, Datuk Radin Malleh dari pilihan raya 1999 hingga 2013 sebelum dirampas Peter atas tiket Parti Warisan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) 2018. – Info X