Search

Perpaduan dan kestabilan politik penting untuk majukan Sabah – Hajiji

March 6, 2025

Info X Reporters

KOTA BELUD: Perpaduan dan kestabilan politik perlu terus dikekalkan sebagai asas membawa lebih banyak kemajuan di negeri ini.

Menegaskan perkara itu, Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata banyak kejayaan dan inisiatif dibuat kerajaan hari ini yang tidak pernah dilaksanakan kerajaan sebelum ini.

“Tiada siapa boleh menafikan bahawa sejak kita mengambil alih kerajaan banyak kejayaan kita capai menerusi pelbagai inisiatif yang tidak pernah dibuat kerajaan
sebelum ini.

“Dari aspek ekonomi hinggalah kepada kesejahteraan rakyat dan pendidikan, sudah banyak kita buat. Malah, dasar mesra pelabur telah mewujudkan beribu-ribu peluang pekerjaan.

“Oleh itu, jika ada perpaduan dan kestabilan politik, kita dapat memajukan negeri ini.

“Sebab itu pentingnya perpaduan dan saya melihat bukan hanya masyarakat Bajau Samah atau yang beragama Islam saja hadir pada majlis ini tetapi juga turut dihadiri masyarakat lain termasuk ketua-ketua gereja di Kota Belud,” katanya pada Majlis Berbuka Puasa bersama Ketua Menteri di Pekarangan Masjid Jamek Kampung Taun Gusi, di sini pada Rabu.

Hajiji bersalaman dengan orang ramai pada majlis berbuka puasa di Kota Belud.

Ketua Menteri berkata, kejayaan dan pelbagai inisiatif yang dilaksanakan kerajaan perlu terus disebarkan agar lebih ramai rakyat di peringkat akar umbi tahu usaha yang dibuat kerajaan.

“Saya mahu cakap ini (kejayaan hasil inisiatif kerajaan) kerana mungkin ada yang tidak maklum dengan usaha-usaha kita.

“Ini kerana pembangkang sangat suka memfitnah dan cakap kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) gagal,” katanya.

Pada majlis itu, Ketua Menteri turut melakukan gimik pelancaran Geran Program Perkhidmatan Tanah Adat Negeri Sabah (PANTAS) Mukim Rosok dan Mukim Keguraan serta menyerahkan geran tanah kepada 55 penerima di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk.

Sebanyak 16 kampung yang terlibat menerima geran dengan luas keseluruhan kawasan tanah 1,559.8165 hektar bersamaan 3,854.39 ekar. – Info X