KOTA KINABALU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan pengurus projek sebuah syarikat selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu berjumlah kira-kira RM800,000.
Suspek lelaki berusia 50-an itu ditahan kira-kira jam 10 pagi tadi ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Sabah.
Menurut sumber, siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan itu dari tahun 2014 hingga 2018.
“Suspek disyaki mengemukakan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan negeri membabitkan satu projek pembinaan jalan di negeri ini dengan nilai berjumlah kira-kira RM800,000 sedangkan kerja tersebut tidak dibuat sepenuhnya,” kata sumber itu.
Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan.
Katanya, kes berkenaan disiasat di bawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan.
“Bagaimanapun suspek dilepaskan selepas keterangan diambil dengan jaminan sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin.
“Suspek akan dituduh esok di Mahkamah Khas Rasuah Kota Kinabalu,” katanya. – Info X