TAWAU: Tiga rumah yang didiami tiga keluarga di Kampung Titingan, di sini, terbakar ketika menjelang waktu berbuka puasa, petang tadi.
Dalam kejadian jam 5.10 petang itu, beberapa penghuni yang sibuk menyediakan hidangan berbuka puasa tidak sempat menyelamatkan barangan mereka.
Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran berkenaan.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tawau, Jemishin Ujin berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 5.13 petang.
Katanya, sepasukan 18 anggota dan pegawai bersama empat buah jentera digerakkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.

“Sebaik tiba, pasukan bomba terus menjalankan operasi pemadaman dengan menggunakan dua pancutan air dari sumber air jentera dan pili bomba.
“Operasi turut dibantu oleh pasukan Bomba Komuniti Kampung Titingan menggunakan dua pam angkut dari sumber pili bomba,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.
Menurutnya, kebakaran berkenaan membabitkan tiga buah rumah iaitu sebuah kediaman musnah dan dua lagi terkena bahang api.
“Operasi berkenaan ditamatkan pada jam 6.09 petang selepas memastikan tiada bahaya lain di lokasi kejadian.
“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X