KOTA KINABALU: UMNO Sabah mencadangkan agar kerajaan memberi subsidi tiket kapal terbang terutama kepada golongan B40 dari Sabah yang berada di Semenanjung untuk pulang sempena sambutan Aidilfitri, akhir bulan ini.
Ketuanya, Datuk Seri Bung Moktar Radin, berkata langkah itu bagi meringankan beban golongan berkenaan yang selama ini terpaksa berbelanja besar untuk pulang ke kampung disebabkan kadar tambang penerbangan yang tinggi pada musim perayaan.
Katanya, mereka juga wajar dipertimbangkan subsidi tiket penerbangan untuk balik kampung sempena musim perayaan, sama seperti pelajar Sabah yang mengikuti pengajian di Semenanjung.
“Rakyat Sabah yang bekerja di Semenanjung sering menghadapi cabaran besar akibat kos pengangkutan udara yang tinggi. Bagi golongan B40, kos tiket kapal terbang yang melambung setiap kali musim perayaan memberi tekanan tambahan kepada kewangan mereka.
“Oleh itu, adalah wajar jika kerajaan mempertimbangkan subsidi tiket kapal terbang yang lebih meluas, bukan kepada pelajar sahaja tetapi juga kepada seluruh golongan B40 yang ingin pulang ke Sabah bagi merayakan hari lebaran bersama keluarga tercinta,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.
Katanya, langkah itu akan memberi manfaat yang besar kepada keluarga di Sabah, terutama bagi mereka yang terpisah akibat jarak jauh, sekali gus memberi impak positif kepada semangat kekeluargaan dan mengeratkan hubungan silaturahim rakyat Sabah.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, beliau menyambut baik langkah kerajaan yang memberikan subsidi tiket kapal terbang kepada pelajar dan berharap agar kemudahan itu dapat diperluaskan kepada golongan B40.
“Mereka juga berhak mendapat peluang untuk pulang beraya dan bersama keluarga tanpa terbeban dengan kos tiket yang tinggi.
“Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kos sara hidup yang semakin meningkat dan tekanan kewangan yang dihadapi oleh rakyat Sabah, inisiatif seperti ini pasti akan meringankan beban mereka.
“Kerajaan perlu melihat isu ini dengan lebih serius dan memperkenalkan inisiatif subsidi tiket kapal terbang yang lebih inklusif untuk memastikan seluruh rakyat Sabah, terutama golongan B40, tidak terpinggir dalam usaha kita untuk memperbaiki taraf hidup dan memastikan kebajikan mereka terjaga,” katanya.
Bung Moktar turut mengulangi komitmen UMNO Sabah memperjuangkan hak rakyat Sabah bagi mendapat akses yang adil kepada kemudahan asas.
Katanya UMNO Sabah juga akan berusaha memastikan bantuan yang diberikan kerajaan sampai kepada mereka yang benar-benar memerlukan.
Ends