Search

Pempengaruh terkenal bantu promosi Sabah di pentas dunia

March 7, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Pempengaruh terkenal dan pencipta kandungan digital dari beberapa negara akan berada di Sabah sempena HyperLive Impact Influencer Festival & Awards 2025 yang diadakan Magellan Sutera, di sini, Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif HyperLive Entertainment, Dr Sean Wong, berkata program itu akan dijayakan dengan kehadiran pempengaruh terkenal dari Vietnam, Indonesia, Filipina dan Singapura, selain dari Malaysia sendiri.

Katanya, kehadiran mereka ke Sabah mampu memberi manfaat kepada sektor pelancongan negeri ini, terutama dalam usaha memperkenalkan Sabah sebagai salah satu destinasi pelancongan terkenal di dunia.

“Kesemua mereka akan berkongsi pengalaman mereka di Sabah kepada pengikut masing-masing di serata dunia,” katanya pada sidang media di The Pacific Sutera Hotel, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama ialah Miss Globe 2024, Diana Moreno dan Pengerusi Majlis Wanita KDCA Pusat, Datuk Joanna Kitingan.

Katanya, antara pempengaruh terkenal yang dijangka hadir ialah Miss International 2024, Huynh Thi Thanh Thuy (Vietnam), Miss Intercontinental 2022, Le Nguyen Bao Ngoc (Vietnam) dan pemenang anugerah penghasilan kandungan digital Indonesia, Adi Syahreza.

Turut dijadual hadir ialah pelakon dan pengacara terkenal Singapura, Nick Shen, pempengaruh Adelyne Velvet (Singapura) dan pempengaruh tempatan Miss Grand Malaysia 2024 Melisha Lin, Miss Suprantional 2024 Andreana Celly, Miss Globe Malaysia 2024 Lee Min Qi dan pempengaruh esports Noel.

Sean (tengah) bersama Diana (tiga kanan), Joanna (tiga kiri) dan penaja lain pada sidang media di Kota Kinabalu.

Sean berkata, festival berkenaan sudah pasti akan memberikan manfaat besar kepada sektor pelancongan di Sabah.

Beliau juga berterima kasih kepada Kerajaan Negeri khususnya Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar, Datuk Seri Christina Liew atas komitmen dan sokongan yang diberikan.

“‘Bringing the World to Sabah’…adalah visi yang diilhamkan Christina, visi berkenaan telah memberikan inspirasi kepada saya untuk memperkenalkan Sabah di peringkat antarabangsa.

“Lebih daripada 20 pempengaruh terkenal akan berada di negeri ini sempena dengan festival berkenaan.

“Saya berharap pelbagai pihak khususnya sektor swasta dan kerajaan akan memberikan sokongan kepada program tersebut untuk membawa Sabah di pentas dunia,” katanya.

Selain itu katanya, festival itu akan dimeriahkan lagi dengan The Life Champion Concert yang juga akan mengetengahkan pemain piano autisme dari dalam dan luar negara.

Beliau berkata, mereka terdiri daripada Clarence Kang (Malaysia), Takuto Koyanagi (Japan), Zhou Bohan (China) dan Chen Kuan Wen (Taiwan),” katanya. – Info X