Search

Baiki jambatan gantung guna batang kelapa, Ruslan nafi tidak beri perhatian

March 7, 2025

Info X Reporters

BEAUFORT: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lumadan, Datuk Ruslan Muharam, menyangkal dakwaan pemimpin Parti Warisan mengenai jambatan gantung uzur di Kampung Galila Jaya, Padas Damit, di sini yang tidak diberi perhatian sewajarnya.

Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Sabah itu berkata, perancangan bagi membaik pulih jambatan gantung itu sudah dimasukkan dalam peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pada Februari lalu dan prosesnya dijangka selesai pada pertengahan bulan ini.

Katanya, beliau menghargai inisiatif penduduk kampung itu yang membaiki sendiri jambatan gantung berkenaan, namun tindakan membaik pulih menggunakan peruntukan ADUN sudah dirancang dan akan dilaksanakan sejurus diluluskan.

“Saya amat menghargai usaha dan inisiatif penduduk kampung yang bergotong-royong membaiki jambatan gantung berkenaan sebagai laluan tambahan bagi memudahkan pergerakan penduduk. Sikap tolong-menolong seperti ini mencerminkan semangat kebersamaan yang kuat dalam masyarakat.

“Kita juga mempunyai perancangan untuk membaik pulih jambatan gantung berkenaan yang sudah dimasukkan dalam peruntukan ADUN pada Februari lalu dan kini ia dalam proses menunggu kelulusan yang dijangka selesai pertengahan Mac ini,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau memberi maklum balas itu bagi menjawab dakwaan Ketua Bahagian Warisan Sipitang, Abd Aziz Taip yang menuduh kepemimpinan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di kawasan berkenaan tidak peka terhadap permasalahan penduduk kampung.

Ruslan berkata, jambatan itu menjadi laluan kedua penduduk, khususnya bagi menghadiri majlis perkahwinan, ziarah keluarga dan aktiviti sosial.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pembangunan infrastruktur adalah satu proses berterusan yang memerlukan perancangan dan pelaksanaan secara tersusun.

“Oleh itu, sebarang keperluan mendesak akan terus diperhalusi mengikut keutamaan demi kesejahteraan rakyat.

“Saya sentiasa komited untuk memastikan keperluan rakyat terjaga dan akan terus mencari jalan terbaik bagi memastikan prasarana yang lebih selamat dan selesa untuk masyarakat di Kampung Galila Jaya,” katanya.

Terdahulu, Abd Aziz menyatakan kesedihannya apabila mengetahui permohonan penduduk Kampung Gelila Jaya agar jambatan gantung yang usang di kampung itu dibaiki tidak diberi perhatian yang sewajarnya oleh pemimpin akar umbi GRS.

Beliau mendakwa, penduduk kampung sudah mengajukan permohonan pembaikan jambatan gantung itu kepada wakil rakyat Lumadan dan Parlimen Sipitang, namun tidak menerima sebarang maklum balas.

Berikutan itu, katanya penduduk kampung mengambil keputusan membaiki sendiri jambatan gantung berkenaan secara gotong royong dengan menggunakan batang kelapa bagi menggantikan papan lantai jambatan yang reput.

Katanya, penggunaan batang kelapa yang dibelah dua sebagai lantai jambatan gantung tidak sesuai, selain boleh membahayakan pengguna, terutama kanak-kanak dan warga tua. – Info X