PENAMPANG: Pimpinan Tertinggi Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM), hari ini, memutuskan tugas presiden parti itu yang ditinggalkan Datuk Peter Anthony akan digalas Timbalan Presiden, Priscella Peter.
Priscella juga akan dibantu seorang lagi Timbalan Presiden, Datuk Wetrom Bahanda yang sebelum ini dilantik sebagai Pengarah Jentera Pilihan Raya KDM.
Setiausaha Agungnya, Willie Jude berkata, keputusan itu sebulat suara dibuat dalam mesyuarat Pimpinan Tertinggi KDM yang dipengerusikan Wetrom, di ibu pejabat parti itu, di sini, hari ini.
Katanya, keputusan itu dibuat demi kebaikan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
“Keputusan ini dibuat sebulat suara dan dengan penuh permuafakatan, kerana kami sebenarnya sudah membuat perancangan awal sekiranya apa-apa berlaku termasuk hal yang berkaitan dengan kes Datuk Presiden.
“Ianya (keputusan) juga sesuai dengan peranan Priscella sebagai salah sorang pengasas parti dan Datuk Wetrom juga menyokong penuh keputusan ini, malah beliau sendiri yang mencadangkan.
“Kami masing-masing mempunyai peranan dalam parti dan saya yakin dengan hubungan kami yang sudah seperti satu keluarga, kami mampu hadapi setiap rintangan yang ada selepas ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Priscella, 27, merupakan graduan dari Universiti Curtin Australia dengan kelulusan Ijazah Sarjana (Master) dalam bidang perakaunan.
Willie berkata, mesyuarat hari ini juga turut memutuskan yang KDM kekal dengan pendirian sebelum ini, iaitu untuk bertanding solo pada PRN17 nanti.
Katanya, segala perancangan parti termasuk yang dibuat Peter akan diteruskan.
“Perjuangan diteruskan, kami tidak akan berundur walau setapak pun, ini perjuangan untuk Sabah, untuk rakyat,” katanya lagi.
Pada Selasa lalu, Peter yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap gagal dalam rayuan akhirnya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara tiga tahun serta denda RM50,000 yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022.
Ia berikutan keputusan panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Datuk Azmi Ariffin yang bersidang semalam mengekalkan hukuman terhadap bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah itu.
Sabitan itu diputuskan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei 2022 selepas Peter, sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati Sdn Bhd didapati bersalah atas pertuduhan memalsukan surat Pejabat Timbalan Naib Canselor Universiti Malaysia Sabah (UMS) bertarikh 9 Jun 2014, iaitu memasukkan pernyataan palsu dengan niat digunakan bagi tujuan menipu.
Berikutan keputusan Mahkamah Rayuan itu, Peter secara automatik hilang kelayakan sebagai ADUN dan tidak boleh menyertai pilihan raya selaras peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan. – Info X