KOTA KINABALU: Seorang pengurus projek syarikat pembinaan dihadapkan ke Mahkamah Khas Rasuah, di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengemukakan dokumen palsu untuk membuat tuntutan bagi sebuah projek persimpangan bertingkat dan pelebaran jalan berjumlah RM46.8 juta, di sini, antara 2016 hingga 2018.
Tertuduh, Victor Voo Chung Sain, 51, didakwa mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah bagi mendapatkan bayaran untuk Projek Persimpangan Bertingkat dan Lorong Ketiga di Batu 5.5 Jalan Tuaran dan Jalan Lintas, Kota Kinabalu.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan itu yang dibacakan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Jason Juga.
Victor didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 468 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa mengemukakan tuntutan dengan menggunakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu ‘Billed Items’ bertarikh 30 Disember 2016, dalam Bayaran Interim bagi projek itu yang berjumlah RM394,915.56.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 30 Disember 2016 hingga 1 Januari 2017 di Pejabat JKR Sabah.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa mengemukakan tuntutan dengan menggunakan ‘Billed Items’ bertarikh 31 Julai 2017 dalam Bayaran Interim bagi projek sama bernilai RM425,293.68, antara 31 Julai 2017 hingga 1 Ogos 2017, di tempat yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga pula, tertuduh didakwa mengemukakan dokumen palsu sebagai tulen, iaitu ‘Site Measurement’ bertarikh 24 April 2018, yang mengandungi tandatangan dipalsukan bagi projek yang sama, dengan nilai kontrak keseluruhan RM46,028,504.04.
Mahkamah kemudian menetapkan 14 April depan sebagai tarikh sebutan semula kes, manakala tertuduh dibenarkan ikat jamin RM15,000, dengan deposit RM8,000 serta seorang penjamin tempatan.
Tertuduh turut dikenakan syarat tambahan, termasuk arahan untuk melapor diri ke pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) setiap dua bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM, Rekhraj Singh, manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Ram Singh dan Prem Elmer Ganasan.
Mahkamah dimaklumkan bahawa tertuduh kini bekerja sebagai jurutera di sebuah syarikat lain. – Info X