KOTA KINABALU: Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah menghantar seramai 1,071 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Filipina pulang dalam Operasi Pemindahan Tahanan ke Negara Asal.
Operasi Mega Pemindahan Tahanan Asing Ke Negara Asal itu dilakukan sebanyak dua sesi iaitu membabitkan 180 warga asing pada 3 Mac lalu dan diikuti 891 Pati, semalam.
Pengarah JIM Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yussof berkata, semua Pati yang dihantar pulang membabitkan tahanan di Depot Imigresen Imigresen Sandakan, Papar dan Tawau.
Katanya, semua Pati terbabit dalam operasi penghantaran pulang ini membabitkan bayi seawal usia tiga hari hingga warga emas 82 tahun.

“Tahanan Pati masing-masing dipindahkan ke destinasi asal iaitu Bongao dan Zamboanga, Filipina.
“Semua kanak-kanak yang mengikuti program pemindahan ini turut diiringi oleh ibu bapa atau penjaga mereka yang sah,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, setakat ini, jumlah Pati warganegara Filipina yang berjaya dipindahkan ke negara asal adalah seramai 1,811 orang.

Katanya, ia menjadikan jumlah keseluruhan tahanan Pati yang berjaya dipindahkan ke negara asal kepada seramai 2,273 orang sehingga ke hari ini.
“Semua Pati sudah selesai menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang ditetapkan serta mempunyai ‘Travel Documents’ sah yang dikeluarkan Kedutaan Republik Filipina untuk melayakkan mereka mengikuti proses pemindahan asing ke negara asal.
“Jabatan Imigresen Negeri Sabah tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan,” katanya.
Menurutnya, tindakan pendakwaan akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah.
“Tindakan juga boleh dikenakan kepada individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“JIM Sabah juga menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang.
“JIM Sabah ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras Pati di negara ini,” katanya. – Info X