KOTA KINABALU: Empat kenderaan yang parkir di tepi jalan dekat Bulatan Masjid Bandaraya, Likas di sini terbakar dalam kejadian, tengah hari tadi.
Difahamkan kebakaran bermula di sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard sebelum merebak ke tiga kenderaan lain yang diletak berhampiran.
Ketika kejadian, pemilik kenderaan sedang menunaikan solat Jumaat di Masjid Bandaraya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas Agustavia Joe Guasi berkata, pasukan bomba bersama jentera pemadam bergegas ke lokasi sebaik menerima panggilan jam 12.59 tengah hari.

“Kebakaran membabitkan empat kenderaan dan pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula jentera dan sumber air didapati daripada tangki jentera bomba.
“Kebakaran dapat dikawal jam 1.07 petang dan menjejaskan sebuah Toyota Alphard sebanyak 90 peratus manakala sebuah Proton Iriz terbakar 60 peratus.
“Dua lagi kenderaan iaitu terbakar Proton Saga terbakar lima peratus dan Proton Iswara terjejas sebanyak tujuh peratus,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun beliau berkata, tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kes berkenaan.

“Punca kejadian masih dalam siasatan pasukan bomba.
“Operasi keseluruhan ditamatkan jam 1.50 tenga hari,” katanya. – Info X