Search

Shafie ajak semua pihak berlapang dada, tolak perpecahan kaum dan agama

March 7, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mengajak semua pihak berlapang dada dan mengambil jalan untuk mendamaikan antara satu sama lain serta menolak sebarang perpecahan kaum dan agama.

Ahli Parlimen Semporna itu menyeru agar semua pihak meninggalkan pertelingkahan, lebih-lebih lagi yang membabit isu 3R (agama, kaum dan raja) di negara ini.

Beliau berkata, semua pihak sepatutnya saling bersabar dan tidak memanjangkan atau berdebat mengenai sebarang isu yang boleh mencetus pergolakan dalam negara.

“Saya ingat yang penting kepada kita, selaku umat tanpa mengira kaum, tanpa mengira agama, apatah lagi tanpa mengira fahaman politik masing-masing.

“Yang penting kepada kita untuk membolehkan supaya kita dapat kentalkan usaha kita menyatukan umat dalam bulan yang baik, bulan Ramadan ini.

“Ini adalah satu tuntutan yang bukan hanya umat Islam, bahkan umat yang lain, agama lain juga, menuntut supaya ada kesatuan, kesepaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Beliau ditemui selepas menyampaikan sumbangan kepada 600 asnaf dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Senallang, Bugaya dan Sulayaban di kediamannya, di sini, pada Jumaat.

Hadir sama ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulayaban, Datuk Dr Jaujan Sambakong dan ADUN Bugaya, Jamil Hamzah.

Isu kaum dan agama kembali hangat berikutan kes membabitkan penyampai sebuah stesen radio baru-baru ini yang didakwa menyentuh soal agama yang menyinggung sensitiviti masyarakat India. – Info X