Search

Pelancong China lemas ketika lakukan aktiviti menyelam

March 10, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Seorang pelancong China ditemui lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan Pulau Mabul, di sini, semalam.

Mangsa lelaki berusia lingkungan 30-an ditemui terapung di permukaan air kira-kira jam 12.30 tengah hari dan disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Mohd Sabri Zainol berkata, pihaknya dimaklumkan kematian seorang pelancong China disyaki lemas ketika melakukan aktiviti menyelam di perairan pulau berkenaan, pada jam 2.36 petang.

Katanya, sebelum kejadian pengadu iaitu jurulatih selam bersama seorang lagi Jurulatih telah membawa lima penyelam di kedalaman 12 meter di perairan Pulau Mabul, pada jam 10.50 pagi.

“Kira-kira jam 12.30 tengah hari aktiviti selesai dan semua penyelam naik dan menyerahkan peralatan termasuk mangsa.

“Selepas itu, mangsa masih berenang berlegar-legar di permukaan air sekitar bot. Namun apabila semua telah naik ke bot pengadu dapati mangsa tiada di atas bot,” katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Ujar beliau lagi, selepas membuat pemeriksaan mangsa telah terapung di permukaan air dalam keadaan badan dan muka terlangkup dalam air.

“Dengan bantuan penyelam yang lain lalu mengangkat mangsa ke atas bot dan cuba memberi bantuan pernafasan dan terus dibawa ke Hospital Semporna.

“Setiba di hospital, pegawai perubatan mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya.

Susulan kejadian itu, Mohd Sabri berkata pihaknya telah membuka kertas siasatan yang diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Proses bedah siasat akan dijalankan dalam masa 48 jam sekirannya masih tiada waris yang tampil untuk menuntut jenazah bagi mengelakkan mayat mangsa reput teruk.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan, boleh menghubungi Ketua Balai Polis Bum-Bum, Asisten Superintendan Polis (ASP) Mohammad Ali Amat di talian 013-2120852 atau tampil untuk menyalurkan maklumat di mana-mana balai polis dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) yang berhampiran,” katanya. – Info X