Search

Sabah contoh perpaduan kaum dan agama – Shafie Apdal

March 10, 2025

Info X Reporters

LAHAD DATU: Sabah wajar dijadikan contoh perpaduan kaum dan agama berdasarkan toleransi tinggi masyarakat berbilang kaum dan agama yang menjadi amalan rakyat negeri itu sejak sekian lama.

Presiden Parti Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata perkara itu perlu dijadikan panduan dalam usaha mengukuhkan perpaduan kaum dan agama di negara ini.

Beliau berkata, rakyat Sabah terdiri daripada pelbagai suku kaum yang menganut agama berbeza namun sentiasa saling hormat menghormati dan berkasih sayang antara sama sama lain.

Katanya, sebarang perdebatan berkaitan agama dan kaum harus dielakkan bagi mengelakkan perpecahan yang boleh merugikan semua pihak.

“Menjadi satu tanggungjawab kepada kita, termasuk umat Islam untuk berusaha bagaimana, apa langkah dan cara untuk memastikan kita dapat mengukuhkan perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia, termasuk di Sabah.

“Tapi, saya tekankan bahawa kita di Sabah ini diberikan rahmat, Sabah adalah contoh dalam negara Malaysia bagaimana masyarakat majmuk berbagai kaum, berbagai anutan agama dapat duduk dalam keadaan yang harmoni.

“Kalau kita ada perpaduan dan kekentalan jiwa, saya yakin negara kita boleh dibangunkan sebaik mungkin untuk manfaat generasi yang akan datang,” katanya selepas Majlis Iftar Ramadan dan penyampaian sumbangan kepada asnaf Islam dan bukan Islam, di sini, malam tadi.

Program berkenaan anjuran Parti Warisan DUN Segama dan Silam di Masjid Raudah Lahad Datu.

Hadir sama Timbalan Presiden Warisan, Datuk Dr Jaujan Sambakong; Ketua Penerangan Warisan, Datuk Mohd Aziz Jamman dan Ketua Pemuda Warisan, Terence Au. – Info X