KOTA KINABALU: Pengerusi PKR Sabah, Datuk Mustapha Sakmud berkemungkinan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tempasuk pada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).
Beliau bagaimanapun berkata perkara itu masih dalam penilaian dan belum diputuskan, tertakluk kepada perundingan dengan rakan parti lain yang akan bekerjasama dengan PKR dan Pakatan Harapan (PH).
Jelasnya, beliau juga menilai pandangan beberapa pihak mengenai kerusi lain yang berpotensi ditandinginya berdasarkan penerimaan dan sokongan rakyat di kawasan terbabit.
“Tempasuk antara kerusi yang berpotensi, tapi pada masa yang sama Gabungan Rakyat Sabah (GRS) juga menyatakan mahu bertanding di sana, namun bagi saya perkara itu biasa.
“Begitu juga di kerusi DUN Api-Api yang disandang Datuk Christina Liew, beliaupun calon kita di sana, tapi GRS juga mungkin berminat meletak calon di sana.
“Jadi, kita tunggu saja selepas rundingan nanti siapa yang akan diberi laluan untuk meletak calon. Kita ada calon, orang lainpun ada calon mereka,” katanya pada sidang media PKR Sabah, di sini, pada Ahad.
Hadir sama Christina selaku Pengerusi Biro Politik PKR Sabah dan Ketua Penerangan PKR Sabah, Razeef Rakimin.
Mustapha yang juga Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi berkata demikian ketika ditanya mengenai kemungkinan beliau bertanding di kerusi DUN Tempasuk.
Kerusi berkenaan pernah ditandinginya atas tiket PKR ketika Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN) pada September 2020, namun tewas di tangan calon Barisan Nasional (BN) pada ketika itu, Datuk Mohd Arsad Bistari.
Mohd Arsad yang kini menyertai Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) turut dijangka mahu mengekalkan kedudukannya di kerusi berkenaan pada PRN17, kali ini atas tiket GRS.
Mustapha yang juga Ahli Parlimen Sepanggar bagaimanapun menyifatkan pendekatan mengumumkan lebih awal bakal calon di sesuatu kerusi bukan langkah yang sesuai sebelum kerjasama politik dibentuk kerana boleh menyebabkan pergeseran antara parti.
“Kalau boleh jangan umum calon sebelum ada kerjasama antara parti bagi mengelak pergeseran. Tapi kita tidak boleh menghalang jika ada pihak yang mahu berbuat demikian.
“Namun, bagi PKR kita mahu menjaga integriti, kita tidak mahu mengumumkan lebih awal tanpa rundingan sebab itu adalah prosesnya dan kita berharap semua parti memahami perkara ini,” katanya.
Mengenai rundingan kerusi dalam kalangan parti komponen PH di Sabah, Mustapha berkata perkara itu juga belum diputuskan memandangkan masih ada kerusi yang ada pertindihan.
“Berapa jumlah kerusi PKR nanti juga kita belum dapat umum kerana kita tidak mahu dilihat seolah-olah bertanding solo pula nanti.
“Kita mahu kerjasama dan mempertahankan Kerajaan Madani, jadi kita tidak mahu berlaku pergeseran antara parti di Sabah yang mungkin menjejaskan Kerajaan Madani pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya. – Info X