Search

PPM tumpaskan kegiatan seludup rokok di Pulau Bum-Bum

March 13, 2025

Info X Reporters

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) berjaya menumpaskan kegiatan penyeludupan rokok seludup dalam satu operasi di perairan Laut Gelam-Gelam, Pulau Bum-Bum, di sini, semalam.

Rampasan sejumlah 62,000 batang rokok tidak bercukai pelbagai jenama dilakukan Unit Risikan Marin (URM), kira-kira jam 5.30 pagi.

Komander PPM Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Nazri Ibrahim berkata, hasil rampasan itu turut menahan seorang lelaki disyaki sebagai juragan.

“Hasil pemeriksaan ke atas bot laju itu menemui beberapa kotak yang mengandungi sejumlah rokok yang dipercayai dibawa masuk dari Filipina.

“Sejumlah keseluruhan rokok termasuk peralatan berkaitan bernilai RM275,250,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 dan semua rampasan dan tangkapan dibawa ke Pangkalan PPM Semporna untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan terus komited dalam membanteras aktiviti penyeludupan di perairan negara. – Info X