BEAUFORT: Dua bangunan lama Sekolah Kebangsaan (SK) Klias Kecil, di sini, musnah dalam kebakaran, pagi tadi.
Kejadian itu memusnahkan bangunan yang dijadikan stor penyimpanan peralatan sekolah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Beaufort, Penolong Penguasa Bomba, Mohammad Hasbullah Nenggok berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.50 pagi.
Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera pemadam segera ke lokasi bagi menjalankan operasi memadam kebakaran.
“Sebaik tiba di lokasi, kebakaran membabitkan dua bangunan lama sekolah yang dijadikan stor penyimpanan peralatan sekolah jenis tidak kekal terbakar sepenuhnya.

“Pasukan bomba bertindak menjalankan operasi pemadaman dan api berjaya dikawal jam 9.28 pagi,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba masih menjalankan kerja-kerja memadam sisa bara api di lokasi kejadian.
“Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kebakaran berkenaan.
“Punca kebakaran masih dalam siasatan pasukan bomba,” katanya. – Info X