Search

RM75.5 juta untuk 13 inisiatif bantuan pendidikan 2025

March 13, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperuntukkan RM75.5 juta bagi melaksanakan 13 inisiatif bantuan pendidikan kepada pelajar, sekolah, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) serta persatuan mahasiswa Sabah di dalam dan luar negara pada tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor, berkata antara inisiatif itu ialah Bantuan Tunai Pendaftaran IPT secara sekali bayar (BUDI ), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Bantuan Khas Tunai Peperiksaan (BAKTI) dan Bantuan Insan Tabungan Pendidikan Negeri (BISTARI ).

Turut disediakan katanya ialah Bantuan Aktiviti PIBG (BAGUS), Bantuan Insan Sekolah Sabah (BISBAH), Bantuan Penyelenggaraan Kecil Sekolah (BALKIS), Bantuan Khas Program Pendidikan (BANTU), Anugerah Kecemerlangan Pendidikan Sabah (AKSA), Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (SEMESTA) dan Bantuan Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRSSUBFLY).

Hajiji melancarkan inisiatif SENTOSA di IPG Kampus Gaya.

Beliau berkata, untuk inisiatif BUDI sahaja, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM20 juta dengan sasaran 10,000 pelajar menerima manfaat, manakala sebanyak RM8 juta untuk inisiatif BAKTI yang menyasarkan seramai 40,000 pelajar pada tahun ini.

“Semua ini adalah selaras dengan dasar kerajaan negeri seperti termaktub dalam Dasar Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) bahawa kita terus komited menjadikan pendidikan sebagai teras utama pembangunan modal insan di negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini, pada Khamis.

Hajiji berkata, kerajaan juga memperkenalkan inisiatif baharu Sumbangan Kegiatan Sekolah secara sekali bayar (SUKSES) kepada semua sekolah di seluruh Sabah.

Hajiji menyampaikan inisiatif SENTOSA kepada pelajar IPG Kampus Gaya.

Katanya, bantuan sebanyak RM3,000 itu diberikan kepada setiap sekolah bagi menjalankan aktiviti atau pembelian keperluan sekolah.

“Selain itu, kerajaan negeri telah menambah dana Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) daripada RM51 juta kepada RM128 juta pada 2025.

“Dengan pertambahan yang berlipat kali ganda itu, di samping beberapa lagi insentif pendidikan yang lain, diharapkan lebih ramai anak-anak Sabah berpeluang menerima bantuan atau kemudahan pendidikan.

“Ini terutamanya mereka yang menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi, sama ada di dalam atau ke luar negara, termasuk pengajian dalam bidang agama atau Pengajian Islam,” katanya.

Hajiji berkata, beliau sebelum ini sudah mengumumkan bantuan subsidi GRS-SUBFLY kepada semua pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT) awam dan awasta yang menuntut di Semenanjung, Sawarak dan Labuan dengan sumbangan sebanyak RM600 seorang membabitkan perbelanjaan keseluruhan melebihi RM10 juta.

Penerima inisiatif SENTOSA bersama Hajiji di IPG Kampus Gaya.

Katanya, sebagai kerajaan negeri yang prihatin dan sentiasa mendengar keluhan rakyat, pelajar Sabah yang menuntut di IPT awam dan swasta di dalam Sabah juga tidak dilupakan.

“Oleh itu, mereka juga akan mendapat bantuan menerusi SENTOSA, iaitu bantuan sekali bayar sebanyak RM300 seorang kepada pelajar yang menuntut di IPT di Sabah membabitkan peruntukan RM6 juta yang dianggar memberi manfaat kepada seramai 20,000 pelajar.

“Bantuan SENTOSA ini sudah saya umumkan pada November lalu, justeru, saya berharap ia dapat meringankan kewangan pelajar untuk balik ke kampung sebelum menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya. – Info X