KOTA KINABALU: Bukan pancing undi, jelas Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor menjawab dakwaan pembangkang berhubung pengumuman pelbagai projek oleh kerajaan negeri.
Beliau menegaskan, kerajaan mempunyai tanggungjawab bagi melaksanakan program atau projek pembangunan untuk rakyat.
Jelasnya, sama ada projek itu diumumkan atau tidak, sudah menjadi tugas kerajaan untuk menyelesaikan isu yang dihadapi rakyat.
“Ini bukan pancing undi, ini inisiatif kerajaan. Pemimpin pembangkang macam-macam saja dia buat, tiada lagi fikiran dia, itu saja.
“Jadi apa yang dia suruh kerajaan buat? Umum projek untuk dilaksana, marah, tidak umum, marah. Jadi apa yang dia mahu?
“Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk melaksanakan program-program ataupun projek-projek pembangunan untuk rakyat.
“Jadi kita umumkah, tidakkah, janganlah kecil hati atau iri hati, itu tugas kerajaan. Kita menyelesaikan banyak isu di Sabah,” katanya.
Beliau ditemui pemberita ditemui selepas Majlis Pelancaran Sumbangan Mahasiswa Pengajian Tinggi Dalam Negeri (SENTOSA) di Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Gaya, di sini, hari ini.
Ketua Menteri ditanya mengenai dakwaan pembangkang yang mengatakan beliau sejak akhir-akhir ini kerap mengumumkan pelbagai projek sebagai strategi memancing undi.
Hajiji berkata, masalah air, elektrik dan lain-lain masalah yang sering disebut pembangkang ketika ini menjadi tugas kerajaan untuk mencari jalan menyelesaikannya
“Jadi di mana tempat kita umumlah, kalau kita ingat, bukan cakap kosong. Yang cakap kosong itu dioranglah, yang tidak boleh buat apa-apa,” katanya.
Sebelum ini, Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin dalam satu kenyataan menyifatkan pengumuman projek dibuat kerajaan ketika PRN17 semakin hampir sebagai taktik ‘zaman batu’ yang tidak lagi relevan pada masa ini.
Pendekatan lama itu katanya menimbulkan persoalan sama ada kerajaan negeri ketika ini benar-benar serius menyelesaikan masalah rakyat atau sekadar memancing undi.
Beliau mempersoalkan keseriusan Ketua Menteri menyelesaikan masalah utama rakyat Sabah, khususnya isu bekalan air, elektrik, jalan raya dan infrastruktur asas yang masih membelenggu negeri ini. – Info X