Search

2 homestay, 3 kedai runcit, stor barang, rumah sewa musnah terbakar di Kundasang

March 14, 2025

Info X Reporters

RANAU: Dua inap desa atau homestay, tiga kedai runcit dan sebuah stor penyimpanan barang runcit jenis tidak kekal musnah dalam kebakaran di Pekan Kundasang, di sini, malam tadi.

Kejadian itu turut memusnahkan satu blok rumah sewa yang mempunyai 11 pintu dan tiada mangsa terbabit dilaporkan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Penolong Penguasa Bomba, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 8.37 malam.

Anggota bomba memadam kebakaran homestay, kedai, stor dan rumah sewa di Pekan Kundasang. – Foto/Bomba

Katanya, sepasukan anggota dan pegawai bersama jentera digerakkan ke tempat kejadian yang terletak 18 kilometer dari balai bomba.

“Anggota bomba memadam api menggunakan sumber air dari jentera dan pili bomba.

“Kebakaran dapat dikawal pada jam 10.09 malam. Tiada mangsa terbabit dilaporkan,” Katanya ketika dihubungi, hari ini.

Homestay, kedai runcit dan sebuah stor serta rumah sewa musnah terbakar di Pekan Kundasang. – Foto/Bomba

Menurutnya, selepas memastikan tiada lagi bahaya yang wujud di lokasi, operasi ditamatkan pada jam 12.52 tengah malam.

“Setakat ini, punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Operasi memadam kebakaran turut dibantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM). – Info X