Search

Cabut batu nisan lebih 20 kubur, seorang lelaki ditahan

March 14, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki ditahan polis selepas tular video memaparkan batu nisan di lebih 20 kubur tanah perkuburan di kawasan Kampung Sungai Imam Bombalai Laut, di sini, didapati hilang, dipercayai dicabut.

Suspek warga tempatan berusia 35 tahun ditahan sepasukan polis dari Balai Polis Bombalai di sebuah rumah tidak jauh dari lokasi kejadian berkenaan, kira-kira 2 petang tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau untuk tindakan lanjut.

Katanya, kejadian yang mencetuskan kemarahan penduduk setempat itu mendapat perhatian pihak polis.

“Polis tidak akan berkompromi dengan sebarang perbuatan yang boleh mencetuskan keresahan awam.

“Polis sedang menyiasat motif kejadian ini dan akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mana-mana pihak yang terbabit,” Katanya dalam kenyataan media, malam tadi.

Batu nisan yang dicabut di tanah perkuburan kawasan Kampung Sungai Imam Bombalai Laut, Tawau.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat yang menyebabkan kerosakan harta benda.

Beliau turut menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis.

Terdahulu, pagi tadi tular video memaparkan batu nisan di lebih 20 kubur di tanah perkuburan kubur di kawasan Kampung Sungai Imam Bombalai Laut, didapati hilang, dipercayai dicabut.

Kejadian disedari oleh individu yang berziarah ke tanah perkuburan itu pagi tadi.

Berdasarkan perkongsian netizen, tidak diketahui siapa yang mencabut batu nisan terbabit, namun dimaklumkan laporan polis sudah dibuat oleh Ketua Kampung untuk siasatan lanjut.

Kejadian itu mencetuskan kemarahan penduduk setampat. – Info X