PENAMPANG: Polis sedang mengesan waris atau ahli keluarga seorang lelaki yang tiba-tiba rebah sebelum disahkan meninggal dunia di tepi jalan, Beverly Hill Plaza, Jalan Bundusan, di sini, semalam.
Mangsa, Leong Kee yang berusia 76 tahun dan beralamat di Jalan Durian Mentangau, Kampung Penyiram, Terangganu, seperti yang tertera pada MyKad mangsa.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintendan Sammy Newton berkata, mangsa dikatakan rebah dan tdiak sedarkan diri.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan yang bertugas dan mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Queen Elizabeth I (HQE I) untuk tindakan lanjut.
“Hasil siasatan awal di lokasi kejadian mendapati tiada sebarang unsur jenayah dikesan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Bagaimanapun katanya kes masih lagi disiasat oleh pihak polis dan diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (SDR).
“Polis sedang giat mengesan waris mangsa dan orang awam yang mempunyai maklumat mengenai mangsa diminta tampil memberi maklumat di balai polis berdekatan.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Ketua Balai Polis Penampang, Inspektor Ahmad Amir Fitri Ab Rahman di talian 016-4492215,” katanya. – Info X