Search

RM6.5 juta anggaran hasil produk pelancongan komuniti

March 17, 2025

Info X Reporters

KIULU: Seramai 269,154 pelawat direkodkan mengunjungi produk pelancongan komuniti di seluruh Sabah dari Januari hingga November 2024, dengan anggaran pendapatan lebih RM6.5 juta.

Pengerusi Lembaga Pelancongan Sabah (STB), Datuk Joniston Bangkuai, berkata jumlah itu berdasarkan rekod yang dibuat 85 pengusaha pelancongan komuniti dari 18 daerah.

Beliau bagaimanapun berkata, jumlah itu mungkin lebih tinggi jika pengumpulan data dilakukan secara menyeluruh.

“Berdasarkan rekod, hanya 269,154 pelawat yang mengunjungi produk pelancongan komuniti sehingga November 2024, dengan anggaran pendapatan melebihi RM6.5 juta.

“Bagaimanapun, angka itu mungkin lebih tinggi kerana masih terdapat kawasan yang belum mempunyai sistem pendataan yang komprehensif,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika melancarkan aplikasi pengumpulan data pelancongan luar bandar Sabah di Pusat Informasi Pelancongan Kiulu, di sini, pada Isnin.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif STB, Julinus Jeffery Jimit dan Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Mejin Maginggow.

Sementara itu, Joniston yang juga Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, berkata Kiulu dipilih untuk melaksanakan projek perintis pengumpulan data pelancongan digital bagi mengukuhkan usaha pendataan ketibaan pelancong di kawasan luar bandar Sabah.

Inisiatif itu katanya adalah langkah penting bagi meningkatkan kaedah pengumpulan, analisis dan penggunaan data pelancongan yang lebih efektif.

“Pengumpulan data yang tepat amat penting untuk memahami keadaan sebenar dalam industri pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti serta merangka strategi yang sesuai.

“Kejayaan projek perintis di Kiulu akan membuka peluang untuk diperluaskan ke daerah lain di Sabah,” katanya.

Joniston berkata projek itu selari dengan usaha kerajaan untuk mengintegrasikan teknologi dalam sektor pelancongan luar bandar bagi memastikan ketibaan pelancong dapat direkodkan dengan lebih menyeluruh.

“Projek pendigitalan data ini bukan sahaja dapat mengatasi masalah kekurangan data yang tepat, malah membantu kita mengenal pasti kawasan yang perlu diberi perhatian dan pelaburan untuk mengembangkan industri pelancongan luar bandar.

“Ia juga membolehkan STB memahami pola pelancong dengan lebih mendalam dan meningkatkan strategi promosi serta perancangan masa hadapan,” katanya.

Projek itu adalah hasil kerjasama strategik antara STB dan Persatuan Pelancongan Kiulu, dengan aplikasi pengumpulan data dibangunkan oleh pihak Datablu.

Kiulu dipilih untuk inisiatif itu kerana ia dijadikan projek perintis bagi pembangunan pelancongan luar bandar dan berasaskan komuniti pada 2014 bersama Kadamaian.

Dalam taklimatnya, Pengarah Datablu, Dharmik Sheth berkata, aplikasi itu dipercayai inisiatif pertama di Malaysia yang memberi fokus khusus kepada pengumpulan data pelancongan luar bandar.

“Kiulu, atau Sabah secara keseluruhannya, berpotensi menjadi model untuk diikuti dalam pembangunan pelancongan luar bandar melalui pengumpulan dan pengurusan data yang efektif,” katanya.

Aplikasi itu dibangunkan antara lain untuk memudahkan pengusaha pelancongan mengurus aktiviti mereka dengan lebih profesional melalui penjanaan e-resit automatik dan pengurusan aktiviti yang lebih sistematik. – Info X

Pix – Joniston bersama pengusaha pelancongan Kiulu pada pelancaran pengumpulan data pelancongan luar bandar di Kiulu.

Pix – Joniston bersama pengusaha pelancongan Kiulu mendengar taklimat program pendataan pelancongan.