Search

Wanita hilang dibawa ‘orang halus’ sebelum ditemui

March 18, 2025

Info X Reporters

Seorang wanita yang dilapor hilang ketika memancing di Sungai Kampung Saub, di sini, Ahad lalu mendakwa dibawa ‘orang halus’ ke dalam hutan, sebelum dia ditemui selamat malam tadi.

Mangsa berusia 55 tahun itu ditemui pada jam 7.03 malam, kira-kira tiga kilometer dari lokasi dia dilaporkan hilang.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nabawan, Rudy Mekii berkata, mangsa ditemui oleh penduduk kampung yang turut membantu mencari mangsa.

Pasukan bomba sedang melakukan pencarian di lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Katanya, ketika ditemui, mangsa berada dalam keadaan selamat tanpa sebarang kecederaan serius.

“Mangsa tersesat selepas mendakwa dibawa oleh ‘seorang’ jauh dari lokasi dia bersama suami memancing.

“Bagaimanapun, syukur mangsa ditemui oleh orang kampung tiga kilometer dari lokasi memancing di mana mangsa disedari hilang,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mangsa ditemui selamat kira-kira tiga kilometer dari lokasi mangsa dilaporkan hilang.

Menurutnya, mangsa dilaporkan dalam keadaan selamat dan seterusnya dibawa ke Klinik Nabawan menaiki Utiliti Vigo bomba untuk mendapatkan pemeriksaan lanjut.

“Pasukan bomba terus melakukan pemeriksaan akhir bagi memastikan tiada kemerbahayaan lain sebelum operasi tamat sepenuhnya pada jam 7.25 malam,” katanya.

Terdahulu, mangsa yang pergi ke lokasi untuk memancing bersama suaminya disedari hilang kira-kira jam 6 petang.

Mangsa dikatakan ditinggalkan berseorangan selama kira-kira tiga jam oleh suaminya yang cuba mencari tupai jauh dari lokasi sungai.

Kehilangannya disedari apabila suami mangsa kembali ke sungai berkenaan dan usaha mencari terus dijalankan dengan bantuan penduduk kampung dan pasukan bomba. – Info X