Search

CIS sumbang kuih raya untuk pasukan keselamatan, kesihatan

March 19, 2025

Info X Reporters

KOTA KINABALU: Cement Industries (Sabah) Sdn Bhd (CIS) menyumbang 26 kotak kuih raya bernilai RM22,000 kepada pasukan barisan hadapan yang menjaga keselamatan dan kesihatan negeri sempena sambutan Aidilfitri tahun ini.

Pengerusinya, Datuk Japlin Akim menyampaikan pek bungkusan sumbangan kuih hari raya itu kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor pada majlis penyerahan sumbangan untuk barisan hadapan di Menara Kinabalu pada Selasa.

Katanya, sumbangan itu adalah sebahagian program tanggungjawab sosial CIS sebagai menghargai jasa dan pengorbanan pasukan serta anggota barisan hadapan di Sabah.

“Mereka ini terpaksa bertugas pada musim perayaan demi keselamatan kita semua, manakala pasukan hadapan kesihatan memastikan semua perkhidmatan dalam keadaan bersiap sedia setiap masa ketika orang lain bersuka ria menyambut hari raya.

“Jasa dan bakti mereka dalam menjaga keamanan dan kesejahteraan hidup seluruh rakyat amat dihargai,” katanya selepas majlis penyerahan itu.

Hadir sama pada majlis itu ialah Pengurus Besar CIS, Sumardi Mohd Yusof dan Pengurus Sumber Manusia, Pentadbiran dan IT CIS, Ezrie Ag Raini.

Pada majlis itu, Hajiji menerima keperluan raya yang disumbangkan 33 kementerian, jabatan dan GLC sebelum menyerahkannya kepada 15 pasukan keselamatan dan kesihatan. – Info X