KOTA KINABALU: Dua beranak cedera apabila kereta dinaiki mereka dihempap pokok tumbang di Jalan Lama Tuaran, Likas, di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, wanita berusia 44 tahun cedera dilutut manakala anak lelaki berusia lima tahun cedera di dahi.
Pegawai APM Kota Kinabalu, Kapten (PA) Aizex Junior berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 7.06 pagi.

“Pasukan yang tiba di lokasi memaklumkan terdapat pokok tumbang menghalang jalan raya dan menghempap dua kereta.
“Kejadian turut membabitkan seorang wanita dan anak lelakinya cedera ringan dan diberi rawatan awal oleh anggota APM,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth I (HQEI) untuk rawatan lanjut.
Katanya, pasukan APM lengkap PPE segara melakukan kerja-kerja pemotongan dan pengalihan pokok tumbang menggunakan alat ‘chainsaw’ manakala anggota lain mengawal lalu lintas.

“Operasi mengalihkan pokok tumbang berjaya dilakukan dan ditamatkan pada jam 7.49 pagi,” katanya. – Info X