SANDAKAN : Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir yakin rakyat Sabah akan memilih Barisan Nasional (BN) pada PRN17 nanti.
Beliau berkata, keyakinan itu berdasarkan keupayaan BN selama menjadi parti pemerintah sebelum ini dalam membawa pembangunan dan menstabilkan ekonomi di negeri ini.
Katanya, rakyat boleh menilai kerajaan sebelum ini dan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) sekarang yang dilihat kurang dalam soal pembangunan.
“Saya berkeyakinan rakyat akan memilih BN dan kembali kepada UMNO itu sendiri kerana mereka juga berkeyakinan hanya BN saja yang boleh membangun dan memastikan kesinambungan kerajaan yang dipimpin dan menstabilkan ekonomi terutama di Sabah ini,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas Program Nuzul Al – Quran Parlimen Libaran 2025 dan Majlis Berbuka Puasa di perkarangan Masjid Darul Aman, Gum-Gum, Batu 16, di sini, pada Selasa.
Sementara itu, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata UMNO Sabah sudah menetapkan untuk tidak bertanding secara solo pada PRN17.
Katanya, UMNO tidak akan bertanding di semua kerusi 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).
“Itu memang ketetapan yang kita lakukan dan baru-baru ini juga kita ada mesyuarat mengenai war room bersama dengan war room pusat dan kita memastikan bahawa kita akan bertanding tetapi tidak semua kerusi,” katanya.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin mengenai pendirian UMNO Sabah tidak akan bertanding secara solo pada PRN17.
Dalam pada itu, Suhaimi yang juga Ketua UMNO Libaran berkata, UMNO Sabah akan mengekalkan 40 peratus penyandang dan menampilkan calon muda termasuk wanita untuk bertanding pada pilihan raya kali ini. – Info X