Search

Lelaki cedera dibelasah kumpulan bermotosikal

March 19, 2025

Info X Reporters

TAWAU: Seorang lelaki cedera dibelasah sekumpulan individu dengan topi keledar dalam kejadian di Kompleks Sukan Tawau, di sini, Isnin lalu.

Kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam, ketika mangsa bersama tiga rakannya berada di kompleks sukan berkenaan lalu didatangi sekumpulan individu yang menunggang motosikal.

Berlaku pertikaman lidah antara kedua-dua pihak dan akhirnya mencetuskan pergaduhan.

Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Jasmin Hussin berkata, dalam kejadian itu, salah seorang rakan mangsa cedera di bahagian kepala selepas dipukul dengan topi keledar oleh salah seorang suspek.

Katanya, bertindak atas maklumat, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tawau melakukan operasi mengesan suspek.

“Hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun di kawasan Taman Univilla, di sini, kira-kira jam 1 tengah hari.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik suspek dan polis giat mengesan individu lain yang terbabit dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

“Selain itu, suspek turut di mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kecederaan parah menggunakan senjata atau alat berbahaya.

“Sehubungan itu, polis menasihati orang ramai supaya tidak terbabit dengan sebarang aktiviti yang boleh mencetuskan pergaduhan dan mengancam keselamatan awam,” tegasnya. – Info X